Berita Berita
Gagal memotong kenderaan: Remaja 18 tahun maut tercampak ke laluan bertentangan
KLANG 31 Mei – Tindakan seorang remaja lelaki memotong sebuah kenderaan berakhir dengan tragedi apabila dia maut selepas tercampak ke laluan bertentangan sebelum dirempuh oleh sebuah kereta lain dalam satu kemalangan di Jalan Kebun di sini, hari ini.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10.05 pagi itu mengakibatkan mangsa yang berusia 18 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.
Detik-detik cemas kemalangan tersebut turut tular di media sosial menerusi satu rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berdurasi 20 saat daripada salah sebuah kenderaan yang terlibat dalam insiden berkenaan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati mangsa yang sedang menunggang motosikal dari arah Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) menghala ke Bulatan Jalan Kebun dipercayai telah cuba memotong sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Harrier.
“Ketika memotong, motosikal mangsa dipercayai bergesel dengan MPV tersebut sebelum tercampak ke laluan bertentangan.
“Pada masa sama, sebuah kereta jenis Toyota Vios yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa dan motosikal terbabit,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Menurut beliau, impak rempuhan itu menyebabkan mangsa mengalami cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan ambulans yang tiba di tempat kejadian. Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk proses bedah siasat.
Bagaimanapun, kedua-dua pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan berkenaan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pihak polis kini membuka kertas siasatan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Justeru, beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd. Khairulnizam Abdul Talib atau mana-mana balai polis yang berhampiran.
Berita berkaitan
May 31, 2026, 9:01 am
Kebakaran pusat hiburan Jalan Penang: Lelaki warga Myanmar ditemukan maut
May 30, 2026, 4:56 pm
MOT teliti guna teknologi kekang kes kecurian kabel landasan rel
May 30, 2026, 11:33 am
Gangguan MyIMMs berulang: Lip Eng gesa KDN dedah punca utama, bidas alasan 'hadapi saja'
May 30, 2026, 11:25 am
