Berita Berita
Pemandu bas miliki 29 saman ditahan, pandu melulu punca kemalangan tiga kenderaan di Genting Highlands
BENTONG 31 Mei – Seorang pemandu bas persiaran berusia 55 tahun yang dikesan memiliki 29 saman trafik ditahan pihak polis selepas disyaki memandu secara melulu sehingga mengakibatkan kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 16 Jalan Genting Highlands, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan berhubung insiden berkenaan pada jam 5.09 petang yang membabitkan dua buah bas persiaran dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Aruz ketika dalam perjalanan turun menuju ke ibu negara.
Kejadian bermula apabila bas persiaran pertama dipercayai tiba-tiba hilang kawalan semasa berada di kawasan selekoh lalu merempuh bahagian belakang Perodua Aruz, sebelum melanggar sebuah lagi bas persiaran yang berada di hadapannya.
Impak rempuhan itu menyebabkan bas persiaran kedua hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik di bahu kiri jalan, manakala bas persiaran pertama pula terbabas ke bahagian kanan laluan jalan raya.
Kedua-dua bas persiaran berkenaan masing-masing dilaporkan membawa seramai 38 dan 36 orang penumpang, yang merupakan pekerja warga asing sebuah kilang elektronik di Selangor yang dalam perjalanan pulang selepas tamat bercuti di Genting Highlands.
Siasatan awal pihak polis mendapati punca utama kemalangan adalah disebabkan oleh tindakan pemandu bas pertama yang memandu secara melulu sehingga mengakibatkan kenderaan tersebut gagal dikawal dengan baik.
Pemandu bas terbabit telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadapnya adalah didapati negatif.
Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam insiden ini, namun seramai lima orang penumpang bas warga asing (tiga warga Bangladesh dan dua warga Nepal) serta seorang penumpang tempatan daripada Perodua Aruz mengalami kecederaan ringan.
Kesemua enam mangsa yang cedera itu telah dikejarkan ke Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan perubatan selanjutnya.
Berita berkaitan
May 31, 2026, 9:18 am
Gagal memotong kenderaan: Remaja 18 tahun maut tercampak ke laluan bertentangan
May 31, 2026, 9:01 am
Kebakaran pusat hiburan Jalan Penang: Lelaki warga Myanmar ditemukan maut
May 30, 2026, 4:56 pm
MOT teliti guna teknologi kekang kes kecurian kabel landasan rel
May 30, 2026, 11:33 am
Gangguan MyIMMs berulang: Lip Eng gesa KDN dedah punca utama, bidas alasan 'hadapi saja'
May 30, 2026, 11:25 am
