TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kebakaran pusat hiburan Jalan Penang: Lelaki warga Myanmar ditemukan maut

By
|
Kongsi
image

GEORGE TOWN 31 Mei – Seorang lelaki warga Myanmar ditemukan maut dalam insiden kebakaran sebuah pusat hiburan di Jalan Penang di sini, pada malam Sabtu.

Mangsa yang dikenali sebagai Mohamad Boshi Sabi Ullah, 56, dan merupakan seorang pekerja di pusat hiburan berkenaan, ditemukan berhampiran pintu masuk hadapan premis sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.50 malam membabitkan kebakaran di Bangunan Odeon tersebut.

Jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai tiba di lokasi pada jam 9 malam dan segera melaksanakan operasi pemadaman ke atas premis kelas A dua tingkat yang mengalami kemusnahan kira-kira 70 peratus itu.

"Pada jam 10.23 malam, seorang mangsa lelaki ditemukan berhampiran pintu masuk hadapan premis namun disahkan telah meninggal dunia dengan melecur tahap satu," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Operasi pemadaman tersebut dibahagikan kepada empat sektor dengan mengaplikasikan konsep RECEO serta strategi ofensif dan defensif, selain kerja ventilasi turut dijalankan bagi mengeluarkan asap yang terperangkap di dalam premis.

Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 11.22 malam sebelum kerja-kerja overhaul dijalankan, manakala Pos Kawalan Bomba (PKB) diaktifkan bagi menyelaras operasi yang berlarutan sehingga awal pagi Ahad.

Secara keseluruhan, operasi ini melibatkan seramai 38 anggota bomba dengan bantuan logistik pelbagai jentera, selain turut disokong oleh pihak polis, KKM, Tenaga Nasional Berhad (TNB), serta beberapa Pasukan Bomba Sukarela (PBS) tempatan.

Pihak JBPM Pulau Pinang memaklumkan bahawa punca sebenar kejadian serta jumlah kerugian yang dialami dalam kebakaran tersebut masih lagi berada dalam proses siasatan.

+ - reset