Berita Berita
Jangan cetus provokasi sensitif, salah guna AI: Agong titah pemimpin politik jaga adab
KUALA LUMPUR 1 Jun – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini menitahkan semua pemimpin politik supaya sentiasa menjaga adab dan tutur kata, serta berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.
Sultan Ibrahim bertitah, golongan ahli politik tidak seharusnya mencetuskan sebarang bentuk provokasi terhadap isu sensitif, terutamanya menjelang musim pilihan raya yang sering dijadikan medan untuk menonjolkan diri bagi memikat hati rakyat.
"Elakkan provokasi dan pertikaian tentang isu sensitif yang berkaitan dengan raja, bangsa dan agama, kerana ia boleh menimbulkan kemarahan rakyat. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga,” titah Seri Paduka Baginda.
Titah berkenaan dizahirkan pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini. Keberangkatan Seri Paduka Baginda turut diiringi Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; barisan anggota Jemaah Menteri termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; serta perwakilan asing.
Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong turut menegaskan bahawa kebebasan bersuara di media sosial tidak seharusnya disalahgunakan menjadi medan untuk menabur fitnah serta api kebencian dalam kalangan rakyat.
Menurut Sultan Ibrahim, keadaan kini bertambah rumit apabila teknologi kecerdasan buatan (AI) disalahgunakan untuk menghasilkan berita palsu dengan memanipulasi suara dan gambar tiruan menerusi video deepfake di media sosial.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa dukacita apabila gambar Baginda sendiri turut menjadi mangsa eksploitasi dalam video dan kandungan palsu demi mengelirukan orang ramai. Sehubungan itu, Agong menitahkan pihak berkuasa untuk terus meningkatkan pemantauan serta mengambil tindakan tegas bagi membendung penularan perkara tersebut.
Sementara itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada semua penerima Darjah, Bintang dan Pingat Persekutuan pada tahun ini, sambil mengingatkan bahawa anugerah berkenaan bukan untuk bermegah-megah, sebaliknya sebagai dorongan untuk terus ikhlas berbakti kepada agama, bangsa, dan negara.
Baginda dan Raja Permaisuri Agong turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur serta berbanyak terima kasih atas ucapan dan doa seluruh rakyat yang mengiringi amanah Baginda sebagai ketua negara.
Istiadat pengurniaan kali ini merupakan kali ketiga disempurnakan oleh Sultan Ibrahim sejak Seri Paduka Baginda ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 20 Julai 2024, dengan menyaksikan seramai 161 individu menerima darjah kebesaran masing-masing pada tahun ini.
Berita berkaitan
June 1, 2026, 5:30 pm
DUN Johor bubar secara rasmi hari ini
June 1, 2026, 2:28 pm
Ketua Hakim Negara terima gelaran Tun sempena Hari Keputeraan Agong
June 1, 2026, 2:17 pm
