TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Marina Ibrahim nafi kena beli atau lompat parti, tegaskan fokus utama selesai masalah rakyat

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 1 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim menafikan sekeras-kerasnya dakwaan liar yang menuduh beliau sudah 'kena beli' atau bakal melompat parti susulan tindakannya yang dilihat kurang lantang mengkritik kerajaan negeri berbanding kebiasaan seorang pemimpin pembangkang.

Menurut beliau, persepsi negatif sedemikian timbul kerana rata-rata pihak hanya menilai landskap politik menerusi kenyataan keras dan serangan terbuka, sedangkan fokus utama beliau sepanjang berkhidmat adalah untuk menyelesaikan masalah rakyat di lapangan.

“Ada yang cakap 'lompat parti' atau kena beli. Jawapannya tidak. Aku dah terangkan, segala keputusan aku buat adalah setelah perbincangan dengan semua mereka yang menjadi tulang belakang aku. Mereka ni yang faham cara kerja aku.

"Orang mula bina persepsi buruk dan tanggapan hanya sebab aku tak vokal dalam mengkritik," katanya menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebook miliknya pada Isnin.

Pada Ahad, Marina mengejutkan ramai pihak apabila mengumumkan keputusan beliau untuk tidak akan mempertahankan kerusi yang disandangnya itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, sekali gus memilih untuk berundur terus dari arena politik.

Keputusan drastik tersebut turut diakui amat mengejutkan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching yang melahirkan rasa berat hati untuk menerima keputusan pengunduran Marina itu.

Dalam pada itu, Marina menegaskan pendiriannya selama ini adalah untuk sentiasa menyokong apa sahaja perkara yang memberi manfaat serta kebaikan kepada rakyat tanpa mengira pihak mana yang membawanya, sambil tetap menegur sebarang kelemahan menerusi saluran-saluran yang bersesuaian.

"Sebab aku percaya politik bukan sekadar soal sejauh mana kita hebat serang orang, tetapi soal menyelesaikan masalah di lapangan. Aku punya 'annoying' nak pastikan masalah tempat aku selesai memang hingga buat orang tarik nafas agaknya.

"Kalau korang baca dalam Art of War, Sun Tzu ada tekankan bahawa kemenangan terbaik adalah kemenangan yang dicapai tanpa perlu bertempur. Prinsip ini sentiasa aku pegang dalam kerja di lapangan," ujarnya lagi.

Menurut Marina, lambakan isu serta masalah rakyat sebenarnya lebih banyak dan mudah diselesaikan menerusi hubungan kerja yang baik, proses rundingan, serta persefahaman berbanding memilih jalan konfrontasi politik yang berterusan.

Dalam masa yang sama, beliau mengakui pendekatan diplomasi yang digunakannya itu mungkin mengundang kritikan daripada pihak yang berpandangan bahawa blok pembangkang sewajarnya bertindak lebih agresif dalam menentang pihak kerajaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keutamaan hakiki seorang wakil rakyat adalah untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat, dan bukannya berlumba-lumba untuk menunjukkan siapa yang paling lantang menyerang pihak lawan.

"Politik ada waktunya, bila nak pilihan raya..tetapi bagi aku membantu rakyat tidak boleh menunggu musim.

"Bagi aku kekuatan sebenar seorang ahli politik jangan diukur melalui berapa banyak pertelingkahan yang dibuat, tetapi melalui berapa banyak masalah rakyat yang berjaya diselesaikan. Itulah semangat yang aku nak pegang dalam berkhidmat kepada masyarakat. Konsepnya... Menang tanpa bertempur di mana menyelesaikan masalah melalui hubungan dan rundingan," katanya.

+ - reset