TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kanak-kanak sembilan tahun maut terjatuh tingkat 13 apartmen, dipercayai ditinggalkan bersendirian

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 1 Jun – Seorang kanak-kanak lelaki tempatan berusia sembilan tahun dilaporkan maut selepas terjatuh dari tingkat 13 sebuah apartmen di Taman Cahaya, Ampang, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid memaklumkan bahawa pihak polis menerima laporan berhubung insiden menyayat hati itu daripada seorang wanita tempatan pada jam 7.45 malam. Wanita berkenaan menemui mangsa dalam keadaan sudah tidak sedarkan diri di lokasi kejadian.

“Siasatan awal pihak polis mendapati kanak-kanak tersebut dipercayai ditinggalkan bersendirian di dalam rumah ketika kejadian berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mangsa kemudiannya telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Ampang.

Susulan daripada insiden itu, Khairul Anuar menyatakan bahawa pihak polis telah pun bertindak merakam keterangan daripada lima orang individu. Mereka terdiri daripada ibu bapa, ahli keluarga mangsa, serta saksi awam yang berada di sekitar kawasan bagi membantu siasatan lanjut.

Mayat kanak-kanak berkenaan telah dibawa ke Hospital Ampang bagi menjalani proses bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematiannya.

Kertas siasatan kini dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan pengabaian terhadap kanak-kanak. Sekiranya disabitkan kesalahan, seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000, atau kedua-duanya sekali.

+ - reset