Berita Berita
Aliran trafik PLUS, KLK dilaporkan perlahan petang ini, 1.9 juta kenderaan direkodkan semalam
KUALA LUMPUR 1 Jun – Aliran trafik di beberapa kawasan tumpuan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dilaporkan bergerak perlahan namun kekal lancar setakat petang ini.
Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Mohd Yusuf Abdul Aziz memaklumkan bahawa bagi pergerakan di Wilayah Utara, kesesakan kecil dikesan membabitkan laluan dari Gurun ke Sungai Petani (selatan) di Kedah; Sungai Dua ke Juru di Pulau Pinang; serta dari Bandar Cassia ke Jawi.
Selain itu, aliran perlahan turut dilaporkan di laluan Bandar Baharu ke Alor Pongsu, Perak; Taiping ke Changkat Jering; kawasan Bukit Berapit arah selatan; serta dari Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak (selatan) menuju ke terowong arah selatan.
Bagi Wilayah Tengah pula, pergerakan trafik dilaporkan perlahan selepas keluar dari Plaza Tol Sungai Besi menuju ke pusat bandar, Rawang (selatan) ke Hospital Sungai Buloh, Bangi ke Nilai, serta Nilai ke R&R Seremban (selatan). Aliran trafik yang tinggi turut dikesan di laluan Gopeng ke Tapah.
"Bagi Wilayah Selatan, aliran trafik dilaporkan perlahan di Pedas Linggi ke Port Dickson, R&R Ayer Keroh ke Simpang Ampat dan Simpang Renggam ke Sedenak," katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun, aliran trafik dilaporkan berjalan lancar di beberapa lebuh raya lain seperti Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), dan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE).
Dalam pada itu, Mohd Yusuf menyatakan bahawa jumlah kenderaan yang direkodkan menggunakan lebuh raya PLUS semalam adalah sebanyak 1.9 juta kenderaan, iaitu mencatatkan sedikit penurunan berbanding jumlah pada kelmarin. Beberapa kawasan dijangka akan terus mengalami pergerakan perlahan pada petang ini namun aliran keseluruhan masih dikategorikan sebagai lancar.
Sementara itu, laporan daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menunjukkan volum trafik turut meningkat dan bergerak perlahan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK). Situasi tersebut membabitkan pergerakan arah timur dari Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) ke Plaza Tol Gombak dan Gombak (KM 31.7) ke Terowong Genting Sempah, manakala bagi arah barat pula melibatkan laluan dari Bentong ke Lentang.
Berita berkaitan
June 1, 2026, 5:30 pm
DUN Johor bubar secara rasmi hari ini
June 1, 2026, 2:28 pm
Ketua Hakim Negara terima gelaran Tun sempena Hari Keputeraan Agong
June 1, 2026, 2:17 pm
Jangan lupa pengajaran 13 Mei 1969, detik sejarah hitam negara: Agong
June 1, 2026, 2:11 pm
