Berita Berita
Terima Darjah Bakti: Suntikan semangat buat Azizulhasni depani Sukan Komanwel, Sukan Asia terakhir
KUALA LUMPUR 1 Jun – Penganugerahan Darjah Bakti menjadi satu suntikan semangat yang amat bermakna buat jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menjelang penampilan terakhirnya di pentas Sukan Komanwel dan Sukan Asia pada tahun ini.
Azizulhasni, 38, merupakan penerima tunggal bagi anugerah Darjah Bakti pada Istiadat Pengurniaan Darjah, Pingat dan Bintang Persekutuan 2026 sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang berlangsung di Istana Negara, hari ini.
“Sukan Komanwel (berlangsung) hujung Julai manakala Sukan Asia hujung September. Ia (penganugerahan Darjah Bakti) akan menjadi penyuntik semangat untuk saya yang akan menjadi (penampilan) akhir di Sukan Komanwel dan Sukan Asia,” katanya kepada Bernama selepas selesai istiadat berkenaan.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu menyifatkan penerimaan darjah kebesaran tersebut sebagai antara detik paling bermakna dan bersejarah sepanjang bergelar seorang atlet negara.
Beliau yang cukup dikenali dengan julukan The Pocket Rocketman menganggap pengiktirafan itu sebagai satu penghormatan yang sangat besar memandangkan Darjah Bakti merupakan antara anugerah tertinggi yang ada di dalam negara.
“Pada awalnya, saya seperti tidak percaya tetapi apabila dimaklumkan mengenainya, saya terima dengan penuh rasa syukur dan berbesar hati,” jelas beliau.
Dalam masa yang sama, beliau turut menjunjung kasih ke hadapan Sultan Ibrahim atas limpah perkenan mengurniakan anugerah berprestij itu kepada dirinya.
Azizulhasni melahirkan harapan agar pengiktirafan tertinggi itu mampu menjadi sumber inspirasi dan pembakar semangat buat atlet-atlet negara yang lain untuk terus bekerja keras demi mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.
“Kalau kita berjuang dengan ikhlas untuk negara, sentiasa mengharumkan nama negara dan menjaga nama baik negara, insya-Allah hasil keringat itu akan dihargai.
“Paling penting kita kejar kejayaan itu dahulu dan berikan yang terbaik untuk negara yang kita cintai. Perkara lain akan datang kemudian, insya-Allah,” katanya lagi.
Menerusi penganugerahan ini, Azizulhasni melakar sejarah tersendiri apabila muncul sebagai atlet ketiga negara yang menerima Darjah Bakti selepas legenda badminton Datuk Seri Lee Chong Wei pada 2021 dan ratu skuasy Datuk Nicol Ann David pada 2024.
Anugerah Darjah Bakti berkenaan merupakan bentuk pengiktirafan tertinggi negara terhadap dedikasi, kecemerlangan, serta sumbangan luar biasa yang diberikan oleh Azizulhasni secara berterusan dalam mengangkat martabat sukan berbasikal lantas memperkukuh reputasi Malaysia di peringkat dunia.
Berita berkaitan
June 1, 2026, 5:30 pm
DUN Johor bubar secara rasmi hari ini
June 1, 2026, 2:28 pm
Ketua Hakim Negara terima gelaran Tun sempena Hari Keputeraan Agong
June 1, 2026, 2:17 pm
Jangan lupa pengajaran 13 Mei 1969, detik sejarah hitam negara: Agong
June 1, 2026, 2:11 pm
