TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

Marina Ibrahim tepis dakwaan takut tanding kawasan Melayu, dedah pernah diludah ke muka sewaktu berkempen

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 3 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim menepis sekeras-kerasnya dakwaan liar pihak tertentu yang menuduh beliau takut untuk bertanding di kawasan majoriti Melayu atau sengaja mahu kekal berada di zon selesa.

Menerusi satu hantaran di media sosialnya pada Selasa malam, Marina mendedahkan bahawa beliau sebenarnya sudah lama terlibat secara aktif dalam gerak kerja politik serta lapangan di kawasan majoriti Melayu, termasuk di DUN Layang-Layang sejak tahun 2021 lagi.

Menurut beliau, pada ketika itu, beliau yang masih mentah telah dihantar untuk membuka pusat komuniti serta menjalankan kerja-kerja asas di kawasan berkenaan yang pada awalnya dijangka menjadi lokasi rasmi untuk dirinya bertanding.

“Saya seorang budak segar, tiada pengalaman dan mentah dalam politik ketika dihantar buat kerja di Layang-Layang. Masa itu saya dijangka akan berdepan dengan Datuk Onn Hafiz Ghazi yang ketika itu merupakan Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Johor,” katanya.

Kenyataan balas ini hadir selepas beliau mengumumkan keputusan drastik pada Ahad lalu untuk tidak akan mempertahankan kerusinya dalam mana-mana pilihan raya akan datang, selain memilih berundur terus daripada arena politik tanah air.

Mengulas lanjut, Marina menegaskan beliau sama sekali tidak pernah menghadapi sebarang masalah untuk berkhidmat di kawasan majoriti Melayu. Beliau turut menyangkal dakwaan kononnya parti hanya boleh berkembang sekiranya beliau dicalonkan di kawasan Melayu, sambil mengingatkan semua pihak bahawa beliau pernah memikul tanggungjawab besar sebagai pengurus kempen di Mersing pada Pilihan Raya Umum 2022 (PRU15).

Jelasnya, dalam kempen tersebut, calon yang diketengahkan bertanding di kawasan yang mempunyai sekitar 76 peratus pengundi Melayu dan berjaya menyelamatkan deposit walaupun itu merupakan penampilan sulung mereka.

“Kalau betul nak kembangkan parti di kawasan Melayu, dah lama selepas dari itu diletakan penyelaras. Akar umbi di sana suarakan isu ni berkali. Dan sekarang mana penyelarasnya untuk kembangkan kerusi?” soal beliau.

Dalam hantaran sama, Marina turut berkongsi kisah duka dan fasa sukar yang pernah dilaluinya sepanjang bergelar seorang ahli politik, termasuk pengalaman berdepan dengan tindakan agresif masyarakat.

“Takkan sampai aku nak cerita lagi macam mana aku dengan seorang kawan perempuan Cina aku masuk berdua sahaja berjalan di Felda masa kempen edar flyers jumpa orang kampung. Aku seorang perempuan Melayu yang pernah berkempen dan diludah ke muka oleh seorang pakcik," dedah beliau lagi.

Tegasnya, keputusan untuk mengosongkan kerusi DUN Skudai tidak mempunyai sebarang kaitan dengan emosi seperti merajuk, kecewa, atau gilakan kemenangan mudah. Sebaliknya, keputusan itu dibuat bersandarkan prinsip dan rasa hormat yang mendalam terhadap kumpulan sukarelawan pelbagai kaum yang selama ini menjadi tulang belakang perjuangannya.

+ - reset