TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

AS dakwa Malaysia gagal kekang import buruh paksa, cadang duti tambahan 10 peratus

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 4 Jun – Malaysia disenaraikan antara 54 negara yang didakwa gagal melaksanakan dan menguatkuasakan larangan terhadap import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa secara berkesan, sekali gus berdepan cadangan duti tambahan oleh Amerika Syarikat (AS).

Memetik laporan Malaysiakini, Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) dalam laporan terbaharunya menyifatkan kegagalan beberapa rakan dagang utama AS menangani isu tersebut sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima kerana mewujudkan persaingan perdagangan yang tidak adil kepada pekerja Amerika.

Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer berkata, Washington tidak lagi akan bertolak ansur dengan ketidakseimbangan yang membolehkan produk berkaitan buruh paksa terus memasuki rantaian perdagangan global.

"Beberapa rakan dagang mengambil langkah awal untuk mencegah import barangan buruh paksa, termasuk melalui Perjanjian AS–Mexico–Kanada (USMCA) dan komitmen dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balik.

"Bagaimanapun, setiap rakan dagang kami mesti melakukan lebih banyak usaha untuk memastikan perdagangan tidak menggalakkan dan mengukuhkan buruh paksa secara songsang di peringkat global," katanya dalam kenyataan akhbar bertarikh 2 Jun yang dikeluarkan oleh USTR.

Menurut laporan itu, USTR mencadangkan tindakan responsif yang kini dibuka untuk ulasan awam sehingga 6 Julai sebelum satu pendengaran awam diadakan pada hari berikutnya.

Antara cadangan yang dikemukakan ialah pengenaan duti tambahan sebanyak 10 peratus ke atas import dari beberapa negara termasuk Malaysia, Kanada, Ecuador, Kesatuan Eropah, Indonesia, Mexico, Pakistan, Argentina, Bangladesh, Kemboja, El Salvador, Guatemala, Taiwan dan Britain.

Bagi 45 negara lain yang turut disiasat, kadar duti tambahan sebanyak 12.5 peratus dicadangkan.

USTR turut mencadangkan mekanisme khas bagi sektor tekstil yang membolehkan sejumlah import pakaian dan tekstil dari ekonomi tertentu memasuki pasaran AS pada kadar tarif Seksyen 301 yang lebih rendah.

Menurut laporan itu, sebanyak 60 siasatan dimulakan pada 12 Mac lalu bagi menilai sama ada tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan terhadap dasar dan amalan negara-negara tertentu berkaitan import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.

Siasatan berkenaan melibatkan 60 ekonomi yang menyumbang kira-kira 99.40 peratus daripada keseluruhan import AS.

Dalam laporannya, USTR turut merujuk kepada komitmen Malaysia di bawah perjanjian perdagangan timbal balik dengan AS yang merangkumi usaha melarang import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.

Menurut laporan itu, komitmen tersebut mencerminkan kesedaran global yang semakin meningkat mengenai keperluan menangani perdagangan berasaskan buruh paksa serta penerimaan terhadap larangan import sedemikian sebagai norma antarabangsa.

"Komuniti antarabangsa bersetuju bahawa buruh paksa, dan seterusnya barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa, tidak sepatutnya wujud atau mengubah syarat persaingan dalam perdagangan antarabangsa.

"Bagaimanapun, sebaliknya persetujuan lama dan universal, buruh paksa terus berterusan di peringkat global, malah meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dibantu oleh perdagangan antarabangsa," menurut dokumen laporan itu.

USTR turut menyimpulkan bahawa Malaysia gagal menerima pakai langkah yang mencukupi untuk melarang kemasukan barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa dan menyifatkan kegagalan tersebut sebagai "tidak munasabah".

Laporan itu juga menyatakan Malaysia merupakan antara pengeksport utama sekurang-kurangnya satu produk yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan penggunaan buruh paksa dalam rantaian pengeluarannya.

Sebagai contoh, USTR merujuk kepada import tembakau dari Malawi yang tersenarai dalam Senarai Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan Orang (TVPRA), dengan Malaysia dikenal pasti antara destinasi utama eksport komoditi berkenaan.

Selain itu, laporan tersebut memetik kajian kumpulan hak buruh dan alam sekitar Transparentem pada Oktober 2024 yang mendakwa terdapat petunjuk amalan buruh paksa dan pengambilan pekerja yang mengeksploitasi dalam industri pakaian di Malaysia.

USTR turut merujuk kepada keterangan yang dikemukakan semasa pendengaran siasatan, termasuk dakwaan bahawa barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa memasuki pasaran AS melalui negara ketiga.

Antara keterangan yang dirujuk ialah kenyataan Naib Presiden Kanan Hal Ehwal Korporat dan Kelestarian Vantage Specialty Chemicals, Michael Waldron yang mendakwa Malaysia dan Indonesia menggunakan buruh paksa dalam penghasilan bahan input yang kemudiannya digunakan dalam produk farmaseutikal, penjagaan diri, kecantikan dan pemakanan di AS.

"Hasil siasatan ini menunjukkan bahawa tindakan, dasar dan amalan Malaysia berkaitan dengan kegagalan mengenakan dan menguatkuasakan larangan import buruh paksa secara berkesan adalah tidak munasabah dan membebankan atau menyekat perdagangan AS," menurut laporan itu.

Laporan berkenaan turut memaklumkan bahawa USTR telah mengadakan rundingan kerajaan dengan kerajaan melibatkan 46 negara termasuk Malaysia sebagai sebahagian daripada proses siasatan.

Selain Malaysia, beberapa negara Asia Tenggara lain yang turut terlibat dalam dapatan tersebut ialah Kemboja, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Indonesia pula merupakan antara enam ekonomi yang didapati gagal menguatkuasakan larangan import buruh paksa secara berkesan bersama Kanada, Ecuador, Kesatuan Eropah, Mexico dan Pakistan.

+ - reset