TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

BN akan umum calon PRN Johor seminggu sebelum penamaan calon

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 4 Jun – Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan senarai penuh calon yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 sekurang-kurangnya seminggu sebelum hari penamaan calon bagi memastikan kesiapsiagaan penuh jentera parti.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah pengumuman awal bagi semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu juga bertujuan membolehkan sebarang isu berbangkit di peringkat kawasan diselesaikan dengan lebih lancar sebelum tempoh kempen bermula.

Beliau yang ditemui selepas merasmikan perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Putrajaya hari ini menegaskan bahawa pemilihan calon kali ini tetap berpaksikan kepada kriteria WALI iaitu gabungan kualiti calon yang berpotensi untuk menang (winnable), disukai (likable), dan boleh diterima (acceptable).

Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor berkuat kuasa serta-merta pada 1 Jun lalu selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bagi memberi laluan kepada pelaksanaan PRN demi memastikan kestabilan kerajaan negeri.

Ekoran pembubaran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini mempunyai tempoh 60 hari untuk menetapkan tarikh rasmi bagi hari penamaan calon serta hari pengundian bagi keseluruhan 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Dalam perkembangan sama, Onn Hafiz turut tampil menepis kesahihan satu senarai calon BN yang tular di media sosial semalam dan menyifatkannya sebagai palsu, selain menasihati semua pihak agar mengamalkan politik matang dengan tidak menyebarkan khabar angin yang boleh menjejaskan proses demokrasi.

+ - reset