TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Wisma Putra sahkan tiada rakyat Malaysia terjejas serangan lapangan terbang di Kuwait

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 4 Jun – Kementerian Luar Negeri mengesahkan tiada rakyat Malaysia terjejas susulan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait semalam.

Wisma Putra memaklumkan bahawa pihaknya melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kuwait sedang memantau rapat perkembangan semasa bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang berada di negara berkenaan.

“Kementerian Luar Negeri mengesahkan kesemua warga Malaysia yang berdaftar di negara tersebut berada dalam keadaan selamat dan tiada laporan mengenai warganegara yang terjejas akibat insiden tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, susulan serangan berkenaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait telah ditutup sementara dan semua penerbangan komersial digantung sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

“Penerbangan yang tiba kini sedang dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd di Dammam, Arab Saudi.

“Warga Malaysia yang perancangan perjalanan mereka terjejas akibat gangguan ini dinasihatkan untuk menghubungi syarikat penerbangan masing-masing secara terus bagi mendapatkan pengaturan alternatif dan penjadualan semula penerbangan.

“Mereka yang menetap atau melakukan perjalanan di rantau ini digesa untuk mengekalkan tahap kewaspadaan yang paling tinggi.

“Rakyat Malaysia perlu mematuhi sepenuhnya sebarang arahan keselamatan, sekatan pergerakan atau arahan kecemasan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Wisma Putra turut menggesa rakyat Malaysia yang masih belum mendaftarkan keberadaan mereka di luar negara supaya berbuat demikian segera menerusi portal e-Konsular Kementerian Luar Negeri bagi memudahkan urusan komunikasi dan bantuan kecemasan.

Pendaftaran boleh dibuat melalui portal e-Konsular Kementerian Luar Negeri.

Bagi bantuan konsular segera atau kecemasan, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Kuwait secara terus melalui talian +965 2255 0394 atau +965 2255 0395 serta e-mel rasmi kedutaan.

Kementerian akan terus memantau situasi keselamatan semasa dan akan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa kepada rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas.

+ - reset