TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Penunggang motosikal maut tercampak atas bumbung kereta dalam nahas tiga kenderaan

By
|
Kongsi
image

KUANTAN 5 Jun – Seorang penunggang motosikal maut selepas tercampak ke atas bumbung sebuah kereta dalam satu kemalangan ngeri membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Kuantan - Kemaman, berhampiran Masjid Tengku Panglima Perang, Sungai Karang, di sini pada Khamis.

Dalam insiden yang berlaku kira-kira jam 7 petang itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Rosdi Shamsuddin, 42, berasal dari Kampung Darat Sekolah Beserah, dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah memaklumkan bahawa kemalangan tersebut melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC serta dua buah kereta iaitu Proton Savvy dan Perodua Bezza, manakala kedua-dua pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila sebuah kereta Proton Savvy yang dipandu seorang mekanik dari arah bandar Kuantan menghala ke Balok gagal mengelak motosikal mangsa yang dipercayai tiba-tiba keluar dari simpang sebelah kiri jalan sebelum memasuki laluan utama.

Impak pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa bersama motosikalnya tercampak ke laluan bertentangan lalu dirempuh pula oleh sebuah kereta Perodua Bezza dipandu seorang wanita, menyebabkan mangsa melambung dan mendarat di atas bumbung kenderaan berkenaan.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat selain sampel darah serta air kencing turut diambil bagi ujian toksikologi, manakala kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

+ - reset