TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerja beberapa hari sebelum 'cabut lari', polis dedah taktik baharu sindiket scam agensi pembantu rumah

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 6 Jun – Orang ramai yang ingin mendapatkan khidmat pembantu rumah diingatkan supaya lebih berwaspada ketika berurusan dengan agensi bagi mengelakkan menjadi mangsa sindiket penipuan yang semakin licik.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, antara modus operandi yang dikesan ialah menghantar pembantu rumah untuk bekerja selama beberapa hari sebelum individu terbabit menghilangkan diri tanpa dapat dikesan.

Menurut beliau, sindiket berkenaan biasanya menawarkan tempoh proses yang cepat serta kadar deposit yang menarik bagi memancing pelanggan.

Katanya, suspek turut menyediakan dokumen yang kelihatan sah dan meyakinkan sebelum meminta bayaran tambahan atas pelbagai alasan.

“Bagi mengaburi mata mangsa, pembantu rumah yang dihantar akan bekerja selama beberapa hari. Namun selepas mendapat kepercayaan daripada majikan, amah tersebut akan menghilangkan diri, manakala ejen pula gagal dihubungi,” katanya.

Rusdi berkata, mangsa bukan sahaja kehilangan wang deposit dan bayaran tambahan yang telah dibuat, malah berisiko menanggung kerugian yang lebih besar apabila pembantu rumah terbabit lesap.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya menyemak status lesen sesebuah agensi terlebih dahulu sebelum membuat sebarang urusan serta mengelakkan pembayaran ke akaun peribadi.

“Semak nombor telefon dan akaun bank melalui platform Semak Mule, selain simpan semua bukti transaksi dan perbualan bagi memudahkan siasatan sekiranya berlaku penipuan,” ujarnya.

Beliau turut menggesa mangsa yang terpedaya supaya segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 bagi membolehkan tindakan segera diambil.

“Jangan biarkan penipu mengambil kesempatan atas kepercayaan anda. Sentiasa semak dan sentiasa berwaspada bagi mengelakkan menjadi mangsa scam,” katanya.

+ - reset