Berita Berita
Anwar seru masyarakat India Muslim terus jadi jambatan perpaduan negara
BUTTERWORTH 25 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru masyarakat India Muslim supaya terus menjadi ejen perubahan yang membawa mesej perpaduan, kasih sayang dan pembangunan negara, selain menolak politik kebencian yang disifatkan hanya akan merencatkan kemajuan Malaysia.
Beliau berkata, perubahan yang bermakna memerlukan iltizam, keyakinan terhadap prinsip, kejelasan idea serta kekuatan watak untuk melaksanakannya dengan penuh integriti.
“Kita mampu berjaya, insya-Allah, sebagai Mukmin, sebagai Malaysia dan sebagai sebuah negara jika kita menghidupkan semula semangat untuk membawa perubahan seperti yang dituntut dalam al-Quran.
“Dengan keazaman, keberanian berpegang kepada prinsip, kejelasan idea dan kekuatan peribadi, kita mampu melaksanakan perubahan ini serta menjadikannya tanggungjawab bersama,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Indian Muslim Transformational Framework 2030 (IMTF2030) di Pusat Konvensyen Picca @Arena Butterworth, di sini.
Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Anwar berkata, beliau yakin masyarakat India Muslim mempunyai semangat, iltizam dan visi yang jelas untuk memajukan komuniti mereka serta menyumbang kepada pembangunan negara.
“Kita boleh melakukannya. Tiada sebab untuk kita gagal membawa perubahan ini. Memang bukan mudah, tetapi ia boleh dicapai,” katanya.
Pada masa sama, Perdana Menteri mengingatkan semua pihak agar tidak terjebak dengan politik yang menyemarakkan kebencian, permusuhan dan pertelingkahan demi meraih sokongan politik.
Menurut beliau, kecenderungan mewujudkan isu yang tidak berasas semata-mata untuk mendapatkan undi hanya akan menjejaskan masa depan negara.
“Naratif yang dibawa sekarang dipenuhi pertelingkahan, kebencian, permusuhan dan penciptaan isu yang sebenarnya tidak wujud. Semua ini hanyalah helah politik untuk meraih undi tanpa menghiraukan soal etika dan moral.
“Sesebuah negara tidak akan berjaya jika terus bergerak dengan cara sedemikian,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan rakyat berhak mengkritik kerajaan dan mendesak penambahbaikan terhadap dasar atau pentadbiran, namun ia perlu dilakukan secara membina tanpa menimbulkan kebencian sesama masyarakat.
“Kritiklah kerajaan apabila perlu, berikan tekanan apabila wajar, tetapi jangan sampai menyemai kebencian antara satu sama lain.
“Jika kita memilih untuk bekerja sebagai satu pasukan dan saling membantu, kita mampu membawa perubahan yang diinginkan,” katanya.
Anwar turut mengakui kerajaan masih mempunyai kelemahan dan tidak memiliki semua jawapan terhadap setiap isu yang dihadapi rakyat.
“Kita tidak mempunyai semua jawapan. Kita juga ada kelemahan dan ada ketika terlepas pandang beberapa perkara.
“Namun kita tidak boleh melupakan negara yang besar ini serta jasa generasi terdahulu. Kita mampu menjadikan Malaysia lebih hebat jika kita bekerja bersama dengan semangat rahmah, kasih sayang dan saling menghormati,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa perbezaan kaum tidak seharusnya menjadi penghalang kepada perpaduan negara.
“Kita tidak memilih bangsa kita. Kita semua diciptakan oleh Allah SWT. Sebab itu kita perlu menjunjung nilai takwa, akhlak yang baik serta keazaman untuk memelihara negara dan kemanusiaan,” katanya.
Berita berkaitan
July 25, 2026, 8:57 pm
Pelajar dibuli, 3 rakan sekolah disiasat
July 25, 2026, 8:43 pm
Keadaan Najib stabil, tidak perlu pasang 'stent'
July 25, 2026, 3:04 pm
Pengumuman berkaitan penganjuran F1 di Malaysia akan dibuat esok - PM
July 25, 2026, 9:40 am
MCMC siasat kandungan hina Islam di Facebook
July 25, 2026, 8:39 am
Dua pelajar perempuan masih lengkap berpakaian 'PJ' ditemukan maut di flat kosong di Ipoh
July 25, 2026, 7:54 am
Sokong usaha MUKMIN, Anwar umum dana RM2 juta bantu pendidikan anak India Muslim
July 24, 2026, 10:51 pm
