Berita Berita
Anwar tolak kenaikan harga minyak, enggan rakyat terbeban
SUNGAI PETANI 8 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak bersetuju dengan langkah menaikkan harga minyak walaupun negara berdepan tekanan kenaikan harga tenaga di peringkat global.
Sebaliknya, beliau berkata kerajaan akan terus menanggung kos subsidi bahan api yang tinggi bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup.
Menurut Anwar, kerajaan terpaksa memperuntukkan antara RM3 bilion hingga RM7 bilion sebulan bagi menampung subsidi minyak ketika harga komoditi tersebut meningkat di pasaran dunia.
“Berapa satu bulan kita tampung? Bukan dalam peruntukan yang lama, tetapi ketika harga minyak naik, kita bayar RM5 bilion sebulan, RM3 bilion sebulan pun ada.
“Kemudian naik sampai RM7 bilion sebulan, sekarang turun balik RM4 bilion, RM5 bilion sebulan tambahan,” katanya ketika berucap merasmikan Program Himpunan Rakan Muda MADANI di sini semalam.
Beliau berkata, jika kerajaan membelanjakan RM3 bilion sebulan bagi tempoh 10 bulan, jumlah keseluruhannya mencecah RM30 bilion.
Bagaimanapun, Anwar menjelaskan kerajaan masih mampu menanggung kos tersebut menerusi langkah penjimatan perbelanjaan dan usaha membanteras ketirisan dalam pengurusan kewangan negara.
Dalam pada itu, beliau turut menolak cadangan supaya kerajaan membuat pinjaman baharu bagi membiayai subsidi bahan api.
“Kalau suruh hutang, saya boleh hutang sekarang, lepas itu saya tinggalkan kerajaan, anak-anak yang harus bayar.
“Sebab itu jalan keluarnya bukan hutang, jadi kita lakukan apa yang kita mampu,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan itu membolehkan Malaysia mengekalkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter, sekali gus antara yang terendah di dunia.
Pada majlis sama, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM2 juta bagi pembinaan Dewan Serbaguna Padang Awam Taman Keladi di Sungai Petani.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Dr Mohammed Taufiq Johari, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Berita berkaitan
June 8, 2026, 10:33 am
Tsunami dijangka landa Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu - MetMalaysia
June 7, 2026, 11:14 pm
6 sekeluarga maut: Biar polis jalankan siasatan, orang ramai diminta tidak buat spekulasi
June 7, 2026, 9:03 pm
Noh Omar umum kembali sertai UMNO
June 7, 2026, 6:51 pm
