Berita Berita
Noh Omar umum kembali sertai UMNO
ISKANDAR PUTERI 7 Jun – Bekas Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Tan Sri Noh Omar mengumumkan penyertaan semula beliau ke dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) melalui Rumah Bangsa, sekali gus menamatkan penglibatannya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pengumuman itu dibuat selepas beliau melepaskan semua jawatan serta keahlian dalam Bersatu yang berkuat kuasa serta-merta.
Menurut Noh, keputusan tersebut dibuat selepas beliau mendengar pendirian dan prinsip yang dibawa kepimpinan UMNO dan BN Johor, khususnya ucapan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
"Saya amat menghormati prinsip UMNO dan BN di negeri ini, apatah lagi selepas mendengar ucapan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Disebabkan itulah saya bersetuju kembali dengan BN menjelang PRN Johor ini.
"Saya juga yakin, Insya-ALLAH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 nanti, UMNO akan mempunyai prinsip yang sama, tidak akan bersama dengan DAP," katanya selepas Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional Negeri Johor di Stadium Tertutup Kompleks EduCity di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau berkata keputusan meninggalkan Bersatu dibuat kerana berpendapat parti itu tidak menghormati prinsip serta keputusan yang ditetapkan oleh Majlis Tertinggi parti.
"Saya memang sudah letak jawatan dan keluar Bersatu, jadi saya ingat tidak perlu tulis surat, saya dah isytihar perkara itu jadi secara automatik saya sudah keluar," katanya.
Dalam pada itu, Noh turut menyuarakan harapan agar UMNO dan PAS dapat menjalin semula kerjasama politik demi memperkukuhkan perpaduan orang Melayu di negara ini.
"Saya juga berharap UMNO akan dapat bekerjasama dengan Pas yang akan dapat menyatukan lagi kekuatan perpaduan Melayu. Saya yakin kalau UMNO dengan Pas boleh bersama, mereka boleh tubuhkan kerajaan tanpa perlukan bantuan daripada parti-parti lain," katanya.
Beliau berkata demikian ketika suasana politik Johor semakin rancak menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang bakal berlangsung dalam tempoh terdekat susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Berita berkaitan
June 7, 2026, 11:14 pm
6 sekeluarga maut: Biar polis jalankan siasatan, orang ramai diminta tidak buat spekulasi
June 7, 2026, 6:51 pm
SPRM kesan penyelewengan lebih RM9 juta libat program Daya Kerjaya 2.0
June 7, 2026, 4:43 pm
