TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Tak nak duduk semeja dengan DAP, tapi Presiden anda duduk sebelah saya tiap-tiap minggu' - Anthony

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 7 Jun - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke membidas kenyataan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi yang menegaskan beliau sanggup melepaskan jawatan daripada bekerjasama dengan DAP dalam pentadbiran negeri.

Menerusi hantaran di media sosial pada Ahad, Anthony menyifatkan pendirian tersebut sebagai bercanggah dengan realiti politik semasa memandangkan pemimpin tertinggi UMNO sendiri berada dalam Kerajaan Perpaduan bersama DAP di peringkat Persekutuan. 

“Anda tak nak duduk semeja dengan DAP... Hebat! Teruskan keangkuhan kamu. Tapi, Presiden anda tiap-tiap minggu duduk sebelah dengan Setiausaha Agung DAP ya... harap maklum... terima kasih,” katanya. 

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada ucapan Onn Hafiz pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Johor sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, apabila beliau menegaskan BN Johor tidak akan bekerjasama dengan DAP walaupun diberi mandat membentuk kerajaan negeri selepas pilihan raya. 

Menurut Onn Hafiz, pendirian tersebut bukan didorong sentimen perkauman atau emosi, sebaliknya merupakan ketetapan politik BN Johor yang mahu bergerak secara sendiri di negeri berkenaan.

Beliau turut menegaskan bahawa lebih rela tidak memegang jawatan Menteri Besar daripada perlu bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan negeri. 

Pertikaman lidah antara kedua-dua pemimpin itu memperlihatkan perbezaan pendekatan politik antara kepimpinan BN Johor dan kerjasama yang sedang berlangsung dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Ia juga dijangka menjadi antara isu yang terus dimainkan menjelang kempen PRN Johor yang bakal berlangsung dalam tempoh terdekat.

 

+ - reset