Berita Berita
27 pelajar tahfiz, warga emas di Rawang disyaki keracunan makanan selepas jamah juadah dari luar
KUALA LUMPUR 7 Jun – Seramai 27 pelajar tahfiz dan penghuni pondok warga emas di Kundang, Rawang menerima rawatan selepas dipercayai mengalami keracunan makanan akibat menjamah hidangan yang diperoleh daripada sumber luar.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, kesemua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh serta beberapa fasiliti kesihatan berhampiran untuk mendapatkan rawatan pada Khamis lalu.
Menurut beliau, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian yang melibatkan sebuah pusat tahfiz di kawasan Kundang.
“Siasatan awal mendapati mangsa mengalami gejala seperti muntah-muntah dan cirit-birit selepas menjamah makanan berkenaan pada 4 Jun lalu.
“Setakat ini, semua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Hafiz berkata, susulan kejadian itu, Pejabat Kesihatan Daerah Gombak telah menjalankan siasatan di lokasi serta mengambil keterangan dan sampel makanan untuk dianalisis di makmal bagi mengenal pasti punca sebenar insiden berkenaan.
Menurut beliau, siasatan kes dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) yang turut membuka kertas siasatan mengikut Akta Makanan 1983 serta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohammad Hafiz Seleman di talian 016-4507492 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Dalam pada itu, Mohd Hafiz menasihatkan peniaga serta individu yang terlibat dalam penyediaan dan pengendalian makanan supaya sentiasa mematuhi aspek kebersihan, keselamatan serta garis panduan kesihatan yang ditetapkan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak berkuasa sementara menunggu hasil analisis dan siasatan lanjut.
Berita berkaitan
June 7, 2026, 11:14 pm
6 sekeluarga maut: Biar polis jalankan siasatan, orang ramai diminta tidak buat spekulasi
June 7, 2026, 9:03 pm
Noh Omar umum kembali sertai UMNO
June 7, 2026, 6:51 pm
SPRM kesan penyelewengan lebih RM9 juta libat program Daya Kerjaya 2.0
June 7, 2026, 4:43 pm
