Berita Berita
6 sekeluarga maut: Biar polis jalankan siasatan, orang ramai diminta tidak buat spekulasi
ALOR SETAR 7 Jun – Polis menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kemalangan tragis yang meragut enam nyawa sekeluarga di Jalan Pinang Tunggal, Sungai Petani, petang tadi.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pihaknya memerlukan ruang untuk menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar nahas yang berlaku kira-kira pukul 3.50 petang itu.
Menurut beliau, kemalangan melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 yang dinaiki tujuh sekeluarga dan sebuah lori muatan tanah.
"SUV yang dinaiki tujuh sekeluarga yang melibatkan seorang anggota polis itu sedang menghala ke Sungai Petani untuk ke Merbok bagi menziarahi kubur ahli keluarga lain, manakala lori yang dipandu seorang lelaki warga tempatan yang berusia 49 tahun pula sedang menghala ke Tikam Batu.
"Kemalangan itu menyebabkan enam sekeluarga itu meninggal dunia, manakala seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mengalami kecederaan parah pada bahagian muka," katanya kepada pemberita di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di sini, malam ini.
Adzli berkata, kejadian yang tular di media sosial itu telah mencetuskan pelbagai spekulasi tidak berasas termasuk dakwaan berkaitan pemandu lori terbabit.
"Ada orang cakap dekat saya pemandu lori itu mabuk serta menyatakan bangsa pemandu itu. Di sini saya ingin maklumkan bahawa mangsa berbangsa Melayu dan pemandu lori itu juga berbangsa Melayu jadi tindakan itu sangat tidak bertanggungjawab.
"Siasatan awal juga mendapati lori itu dipandu hanya 60 kilometer sejam (km/j), tapi ada juga pihak yang kata kenderaan itu (X50) mungkin bermasalah kerana baharu sahaja dikeluarkan, kereta baharu lagi, jadi kita akan siasat semua aspek termasuk akan menghantar SUV itu ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut," katanya.
Beliau berkata, hasil saringan air kencing mendapati pemandu lori berkenaan negatif dadah, namun lelaki itu mempunyai tujuh rekod saman trafik.
"Walaupun dia memandu dengan had kelajuan 60 km/j, mempunyai lesen memandu yang sah tetapi pemandu itu ditahan dan akan direman esok bagi membantu siasatan kes. Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Dalam kejadian itu, enam sekeluarga termasuk seorang bayi maut selepas SUV yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori muatan tanah.
Mangsa yang terkorban ialah Ahmad Syafiq Ahmad Shukri, 29; Ahmad Fahim Ahmad Shukri, 21; Jamaliah Sannusi, 29; Nora Mohd Husin, 55; Iskandar Affan Ibrahim, 7; dan Ahmad Mikail Ahmad Syafiq yang berusia dua bulan.
Seorang lagi mangsa, Aulia Sofea Ahmad Syafiq, 3, mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan.
Difahamkan, kesemua mangsa dalam perjalanan dari Kepala Batas, Pulau Pinang menuju ke Merbok untuk menziarahi pusara ahli keluarga ketika tragedi itu berlaku.
Berita berkaitan
June 7, 2026, 9:03 pm
Noh Omar umum kembali sertai UMNO
June 7, 2026, 6:51 pm
SPRM kesan penyelewengan lebih RM9 juta libat program Daya Kerjaya 2.0
June 7, 2026, 4:43 pm
