TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Ingat...semasa bertanding di Mahkota, merayu-rayu kamu minta DAP tolong!' - Sheikh Umar label kenyataan Onn Hafiz sangat angkuh

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 7 Jun – DAP Johor menyifatkan kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menolak sebarang kerjasama dengan DAP selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sebagai satu kenyataan yang angkuh.

Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Baghraib Ali berkata, pemimpin Barisan Nasional (BN) itu seharusnya tidak melupakan sejarah kerjasama politik yang pernah terjalin antara kedua-dua gabungan sebelum ini.

Menerusi satu hantaran di media sosial pada Ahad, beliau mengimbau kembali Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota yang menyaksikan jentera DAP turut membantu kempen calon BN.

"Kenyataan Onn Hafiz Ghazi siang tadi sangat angkuh.

"Ingat..

"Semasa Syed Hussien Bin Syed Abdullah bertanding di Mahkota, merayu-rayu kamu minta DAP tolong!," katanya.

Sheikh Umar turut menyertakan tanda pagar #DudukSemeja dan #MelawanLupa sebagai sindiran terhadap kenyataan terbaharu Onn Hafiz berhubung pendirian BN Johor terhadap DAP.

Terdahulu, ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional Johor, Onn Hafiz menegaskan beliau lebih rela tidak memegang jawatan Menteri Besar berbanding bekerjasama dengan DAP sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan negeri selepas PRN Johor.

Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama antara BN, khususnya UMNO Johor dengan DAP, tidak pernah berlaku di peringkat negeri meskipun kedua-dua parti berada dalam kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan.

PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang berlangsung pada September 2024 menyaksikan calon BN, Syed Hussein Syed Abdullah memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti besar sebanyak 20,648 undi.

Kempen pilihan raya kecil tersebut turut menyaksikan kerjasama jentera daripada parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan termasuk komponen Pakatan Harapan (PH) seperti DAP yang membantu gerak kerja kempen BN di kawasan berkenaan.

Kenyataan saling berbalas antara pemimpin BN dan DAP itu dijangka terus mewarnai landskap politik Johor menjelang PRN ke-16 yang bakal berlangsung dalam tempoh terdekat.

+ - reset