TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PRN Johor: 'Saya lebih rela tidak pegang jawatan daripada duduk semeja dengan DAP' - Onn Hafiz

By
|
Kongsi
image

 

ISKANDAR PUTERI 7 Jun – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan beliau tidak akan bekerjasama dengan DAP sekiranya diberi mandat untuk membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Menteri Besar Johor itu berkata, pendirian tersebut merupakan ketetapan politik BN Johor dan bukan berasaskan sentimen emosi atau perkauman.

“Jika diberi mandat sekali lagi, kita tidak sesekali akan bersama-sama DAP dalam kerajaan. Ini bukan isu emosi atau perkauman, tetapi pendirian politik BN Johor.

“Saya lebih rela tidak memegang jawatan daripada duduk semeja dengan mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Negeri Johor di Stadium Educity, di sini, hari ini.

Majlis pelancaran jentera pilihan raya itu disempurnakan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri barisan kepimpinan utama parti komponen gabungan berkenaan.

Antara yang hadir ialah Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Presiden MIC, Tan Sri Dr SA Vigneswaran; Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Dr Loga Bala Mohan serta pemimpin-pemimpin BN negeri dan pusat.

Menurut Onn Hafiz, pelbagai dakwaan serta persepsi yang berlegar di media sosial menjelang PRN Johor perlu dijawab dengan fakta bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata, antara naratif yang sering dimainkan adalah dakwaan kononnya BN akan bekerjasama dengan DAP selepas pilihan raya serta tuduhan bahawa kerajaan negeri tidak berada dalam keadaan stabil.

“Rakyat Johor sudah matang. Mereka tahu menilai antara fitnah dan fakta,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras BN Johor.

PRN Johor diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor baru-baru ini bagi memberi laluan kepada pembentukan kerajaan negeri yang baharu untuk penggal akan datang.

+ - reset