TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

HTAR jelas punca burung gagak, merpati masuk wad, patuk makanan pesakit

By
|
Kongsi
image

 

KLANG 8 Jun – Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) memaklumkan pihaknya telah mengambil tindakan segera susulan penularan video yang memaparkan beberapa ekor burung berada di dalam wad pesakit hospital berkenaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, HTAR menjelaskan kawasan hospital sememangnya menjadi habitat kepada burung merpati dan gagak kerana terdapat banyak pokok di persekitaran premis tersebut.

Menurut pihak hospital, keadaan itu berpotensi menyebabkan burung memasuki bangunan hospital secara tidak sengaja.

“Terdapat burung merpati dan gagak yang menjadikan kawasan pokok di sekitar hospital sebagai habitat. Keadaan ini berpotensi menyebabkan burung memasuki kawasan bangunan hospital secara tidak sengaja.

“Bagi menangani perkara ini, HTAR telah melaksanakan langkah kawalan secara berkala termasuk kerja pemangkasan pokok oleh syarikat konsesi serta pemantauan berterusan di kawasan wad dan bangunan hospital,” menurut kenyataan itu.

HTAR turut memaklumkan bahawa pihaknya mendapatkan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memperkukuh usaha mengawal gangguan burung di kawasan hospital.

Menurut kenyataan itu, pihak pengurusan memandang serius isu berkenaan dan komited memastikan persekitaran hospital sentiasa berada dalam keadaan selamat, bersih serta kondusif untuk pesakit, pelawat dan warga kerja.

“Semua langkah yang bersesuaian akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi mengurangkan risiko kejadian seumpama ini berulang,” katanya.

Terdahulu, tular satu video di media sosial yang memaparkan beberapa ekor burung berada di dalam wad pesakit, termasuk dilihat mematuk bekas makanan yang disediakan untuk pesakit.

Video tersebut mengundang pelbagai reaksi orang ramai yang membangkitkan persoalan mengenai aspek kebersihan dan kawalan persekitaran di hospital berkenaan.

 

+ - reset