TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MCMC ambil tindakan kandungan judi dalam talian menjelang Piala Dunia 2026

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 8 Jun – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengambil tindakan terhadap mana-mana kandungan atau pautan berunsur judi dalam talian yang dikesan atau dilaporkan menjelang kempen Piala Dunia 2026 yang bermula minggu ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, orang ramai digalakkan menyalurkan aduan kepada MCMC sekiranya menemui kandungan berkaitan bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil dengan segera.

Menurut beliau, sebarang aktiviti perjudian dalam talian yang melanggar undang-undang negara tidak akan dikompromi.

“Seperti yang kita ketahui, judi dalam talian tidak dibenarkan dalam negara dan sekiranya MCMC menerima aduan, maka tindakan boleh diambil.

“Tindakan sama juga boleh dikenakan terhadap portal perjudian dalam talian yang didapati melanggar peraturan,” katanya pada sidang akhbar selepas Persidangan Meja Bulat Pelaporan Media Selamat dan Bertanggungjawab Mengenai Tingkah Laku Bunuh Diri di sini pada Isnin.

Kenyataan itu dibuat susulan kebimbangan terhadap peningkatan aktiviti promosi perjudian menjelang kejohanan bola sepak terbesar dunia itu.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, M Kumar mendedahkan sindiket pertaruhan haram dikesan semakin agresif mencari pelbagai kaedah untuk mempromosikan kegiatan mereka sempena Piala Dunia 2026.

Menurut beliau, antara taktik yang digunakan termasuk mendapatkan khidmat pempengaruh media sosial bagi menarik lebih ramai pengguna menyertai aktiviti pertaruhan dalam talian.

M Kumar turut menjelaskan bahawa landskap perjudian kini berubah dengan ketara apabila kebanyakan aktiviti pertaruhan beralih daripada kaedah konvensional kepada platform digital.

Katanya, hampir 90 peratus aktiviti pertaruhan dijangka dilakukan secara dalam talian, sekali gus membolehkan urusan pertaruhan dijalankan sepanjang masa tanpa sebarang sempadan fizikal.

Sehubungan itu, pihak berkuasa akan terus memperhebat pemantauan terhadap platform digital dan media sosial bagi mengekang penyebaran kandungan yang mempromosikan perjudian dalam talian sepanjang berlangsungnya Piala Dunia 2026.

+ - reset