Berita Berita
Abd Halim wajibkan semua warga SPRM isytihar harta dalam tempoh sebulan
PUTRAJAYA 8 Jun - Ketua Pesuruhjaya baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abd Halim Aman mewajibkan semua pegawai dan kakitangan agensi itu membuat atau mengemas kini pengisytiharan harta masing-masing dalam tempoh sebulan sebagai langkah memperkukuh integriti organisasi.
Beliau berkata, arahan tersebut merupakan antara tindakan awal di bawah kepimpinannya bagi membina semula keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai institusi yang bebas, profesional dan berintegriti.
“Sebagai mempelopori usaha membina serta meyakinkan kepercayaan rakyat, saya mengarahkan kesemua pegawai SPRM melaksanakan proses pengisytiharan harta dalam tempoh satu bulan daripada tarikh pemakluman rasmi yang akan dikeluarkan.
“Bagi mempelopori hasrat itu, saya sendiri akan memulakan proses pengisytiharan harta terbabit,” katanya ketika menyampaikan amanat sulung pada Majlis Perhimpunan Bulanan SPRM di sini hari ini.
Abd Halim menegaskan bahawa di bawah kepimpinannya, SPRM tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan luar termasuk sentimen media, tekanan awam mahupun kepentingan politik.
Menurut beliau, setiap siasatan akan dijalankan secara profesional berlandaskan prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang tanpa pilih kasih.
“Keadilan serta kedaulatan undang-undang tanpa pengecualian dan tanpa kompromi, itulah yang akan dipegang.
“Integriti bukan sekadar slogan atau lafaz ikrar, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui keputusan yang dibuat secara berani dan siasatan yang diteruskan tanpa gentar,” katanya.
Beliau turut mengingatkan warga SPRM supaya menjaga nama baik organisasi dan tidak terlibat dalam sebarang salah laku yang boleh mencemarkan imej agensi berkenaan.
Dalam pada itu, Abd Halim berkata setiap pegawai SPRM perlu memiliki dua sifat utama iaitu kuat dan amanah seperti yang digariskan dalam Surah Al-Qasas.
Katanya, sifat kuat merujuk kepada kecekapan serta kompetensi dalam menjalankan tugas, manakala amanah pula mencerminkan kejujuran dan integriti yang menjadi asas kepada perkhidmatan awam.
“Gabungan kedua-dua sifat ini akan memastikan SPRM terus dihormati sebagai benteng utama integriti negara,” katanya.
Beliau turut mengingatkan warga kerja SPRM supaya menjauhi sikap sombong dan ego ketika menjalankan tugas kerana setiap tindakan mereka sentiasa menjadi perhatian serta penilaian masyarakat.
Tegasnya, integriti sebenar akan teruji apabila seseorang pegawai mampu menolak sebarang campur tangan atau pengaruh berkepentingan dalam melaksanakan amanah yang diberikan.
Berita berkaitan
June 8, 2026, 4:32 pm
MCMC ambil tindakan kandungan judi dalam talian menjelang Piala Dunia 2026
June 8, 2026, 2:18 pm
Malaysia sedia hulur bantuan kepada Filipina susulan gempa bumi kuat
June 8, 2026, 1:56 pm
Dua beradik jatuh pangsapuri di Tampoi, saksi dakwa dengar dua dentuman kuat
June 8, 2026, 12:38 pm
PM puji Kementerian Komunikasi, sifatkan penerangan BUDI MADANI antara kejayaan terbesar
June 8, 2026, 12:17 pm
Sebar video lucah bekas suami: Wanita didenda RM2,800
June 8, 2026, 12:13 pm
Mara heret peminjam culas ke mahkamah demi bantu lebih ramai pelajar miskin, usahawan
June 8, 2026, 12:07 pm
Bomba terima laporan gegaran di Tawau, pemantauan pantai diperketat susulan amaran tsunami
June 8, 2026, 12:04 pm
