TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Op Cegah Khas: Sepasang suami isteri antara 149 positif dadah di Pulau Pinang

By
|
Kongsi
image

GEORGE TOWN 12 Jun – Sepasang suami isteri yang mempunyai dua anak kecil merupakan antara 149 individu yang didapati positif dadah dalam operasi khas selama tiga hari yang dijalankan di sekitar Pulau Pinang.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Mahadzir Elias berkata, kes membabitkan pasangan tersebut mencerminkan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan keluarga muda.

Dalam serbuan itu, seorang lelaki berusia 35 tahun bersama isterinya yang berumur 37 tahun telah ditahan, menyebabkan anak lelaki mereka yang berusia lapan tahun dan seorang bayi berumur tiga bulan terpaksa ditinggalkan sebelum diletakkan di bawah jagaan saudara terdekat.

"Kami bimbang kerana ramai di antara mereka yang terlibat berada dalam usia produktif dan mempunyai keluarga muda. Matlamat kami adalah untuk mengeluarkan penagih daripada kitaran ketagihan dan membawa mereka kembali kepada masyarakat. Sasaran kita adalah untuk mengurangkan permintaan (demand) kerana menyekat bekalan (supply) semata-mata adalah sangat sukar," katanya selepas operasi Op Cegah Khas lewat malam tadi.

Operasi bersepadu yang bermula pada 9 Jun dan berakhir malam tadi itu meliputi kesemua lima daerah di Pulau Pinang iaitu Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT), Seberang Perai Selatan (SPS), Timur Laut, dan Barat Daya.

Sepanjang tiga hari operasi, seramai 164 individu telah ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk penyalahgunaan dadah, gagal mematuhi syarat ikat jamin, serta melanggar perintah pengawasan. Daripada jumlah itu, seramai 149 orang sah positif dadah hasil ujian saringan air kencing.

Dadah jenis metamfetamin atau syabu kekal menjadi bahan larangan yang paling banyak disalahgunakan dengan mencatatkan 100 kes positif. Ia diikuti oleh dadah jenis opiat (35 kes) dan ganja (18 kes), iaitu satu angka yang disifatkan agak tinggi berbanding operasi di negeri lain sebelum ini. Selain itu, terdapat satu kes ketamine dan 10 kes penyalahgunaan pelbagai jenis dadah (polydrug).

Kumpulan terbesar penagih yang ditahan berumur antara 19 hingga 40 tahun iaitu melibatkan 77 individu, diikuti sembilan individu berusia 61 tahun ke atas, manakala tiada remaja bawah 18 tahun dikesan terlibat.

Bagi pecahan mengikut kawasan pula, Seberang Perai Utara mencatatkan tangkapan tertinggi dengan 50 kes, diikuti Barat Daya (36 kes), Timur Laut (31 kes), Seberang Perai Tengah (30 kes), dan Seberang Perai Selatan (17 kes).

Operasi yang digerakkan atas aduan awam dan risikan itu melibatkan kekuatan seramai 88 anggota AADK. Mahadzir menegaskan, objektif utama agensi tersebut bukanlah semata-mata untuk menghukum, tetapi lebih kepada membantu penagih menjalani proses rawatan dan pemulihan.

Sehubungan itu, beliau menggesa mana-mana individu yang bergelut dengan masalah ketagihan untuk tampil mendapatkan rawatan secara sukarela, selaras dengan pindaan undang-undang baharu yang telah berkuat kuasa sejak 22 Ogos tahun lalu. Mereka yang datang menyerah diri secara sukarela tidak akan dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

+ - reset