Berita Berita
Isu Rohingya: PSM bidas sentimen xenofobia dan perkauman di media sosial
KUALA LUMPUR 12 Jun – Parti Sosialis Malaysia (PSM) Semenyih mengecam keras tindakan pihak tertentu yang sengaja mengeksploitasi krisis pelarian, khususnya melibatkan komuniti Rohingya, dengan memainkan sentimen perkauman dan xenofobia di platform media sosial.
Setiausahanya, Yap Heng Lung menyifatkan tindakan menularkan video berkaitan penghuni sebuah bangunan di Hulu Langat secara sensasi baru-baru ini sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab yang hanya mengundang kebencian terhadap golongan yang sudah sedia terpinggir. Beliau menegaskan bahawa sebarang isu yang timbul sepatutnya ditangani bersandarkan fakta dan keadaan sebenar, bukannya dengan menyerang identiti etnik atau asal-usul mereka.
“PSM mengulangi pendirian yang pernah dinyatakan bersama 74 pertubuhan masyarakat sivil sebelum ini bahawa segala bentuk diskriminasi, kebencian dan penindasan terhadap pelarian mesti dihentikan. Kempen serta petisyen dalam talian yang menyemarakkan kebencian terhadap komuniti Rohingya adalah tidak boleh diterima dalam sebuah masyarakat yang menghormati prinsip kemanusiaan dan hak asasi manusia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Heng Lung menambah, PSM yang konsisten memperjuangkan hak pelarian dan pencari suaka menyeru kerajaan serta masyarakat umum agar berhenti menjadikan golongan ini sebagai 'kambing hitam' kepada pelbagai masalah sosial dan ekonomi domestik. Sebaliknya, mereka wajar dilayan dengan penuh maruah dan penghormatan sebagai sesama manusia.
Beliau turut berkongsi data terkini daripada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) yang merekodkan terdapat lebih 41 juta pelarian dan sekitar sembilan juta pencari suaka di seluruh dunia akibat konflik. Di Malaysia pula, kira-kira 30 peratus daripada lebih 215,000 pelarian dan pencari suaka yang berdaftar terdiri daripada golongan kanak-kanak, sekali gus membuktikan ia merupakan isu kemanusiaan yang melibatkan kelompok paling rentan.
Menjelang sambutan Hari Pelarian Sedunia pada 20 Jun ini, PSM menggesa Kerajaan MADANI untuk mengambil langkah berani meratifikasikan Konvensyen Berhubung Status Pelarian bagi mewujudkan kerangka dasar pengurusan yang lebih jelas dan sistematik. Sebagai anggota PBB dan ASEAN, Malaysia dituntut menunjukkan komitmen yang lebih kukuh dalam memelihara hak asasi manusia, manakala rakyat tempatan diseru untuk mengembangkan sikap sebagai warga dunia yang bertanggungjawab serta mengikis pemikiran xenofobia daripada masyarakat yang adil dan demokratik.
Berita berkaitan
June 13, 2026, 12:24 pm
Hilang sejak Rabu, mayat lelaki ditemui terapung tersangkut pada timbunan kayu
June 13, 2026, 12:12 pm
'Himpunan Gegar TikTok' singgah pejabat TikTok suarakan isu pencipta kandungan
June 12, 2026, 11:41 am
Fitnah Tok Batin simpan pendaki hilang, lelaki direman empat hari
June 12, 2026, 11:35 am
Wan Saiful bidas Bersatu, dakwa Muhyiddin asaskan Perikatan Nasional sebagai 'tahyul'
June 12, 2026, 11:28 am
Saman barang kemas mewah: Pengasas Global Royalty lega nama dibersihkan selepas 8 tahun
June 12, 2026, 11:11 am
Inisiatif Rumah Bangsa cetus gelombang, UMNO terima 21,858 ahli termasuk KJ dan Noh Omar
June 12, 2026, 9:55 am
