TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Empat bulan duduk rumah, pelajar 12 tahun trauma, sakit gara-gara rakan 'gurau kasar' tarik kerusi ketika mahu duduk

By
|
Kongsi
image

 

PADANG BESAR 12 Jun - Seorang murid perempuan berusia 12 tahun didakwa masih bergelut dengan masalah kesihatan fizikal dan emosi sehingga terpaksa meninggalkan sesi persekolahan hampir empat bulan selepas terbabit dalam satu insiden di sekolah pada Februari lalu.

Ibu murid berkenaan, Norasikin Hasin, 32, mendakwa anak sulungnya itu mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian belakang pinggang selain disahkan mengalami gangguan fungsi dan gangguan tekanan pascatrauma (PTSD) susulan kejadian yang berlaku pada 11 Februari lalu.

Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika sesi pengajaran dan pembelajaran apabila anaknya ingin duduk semula selepas memberi salam kepada guru, namun terjatuh ke lantai selepas kerusi yang ingin didudukinya dipercayai ditarik oleh seorang rakan perempuan.

“Anak saya mula mengadu sakit belakang selepas pulang dari asrama pada 13 Februari untuk cuti sekolah bagi menyambut Ramadan dan saya tahu mengenai kejadian menimpa anak saya ketika saya membawanya ke Hospital Tuanku Fauziah di Kangar untuk mendapatkan rawatan.

“Sejak itu, anak saya beberapa kali dimasukkan ke hospital kerana sakit berterusan dan mengalami kebas badan. Hingga kini, dia masih dapat cuti sakit. Sekarang, anak saya tidak dapat bergerak aktif seperti biasa, tidak boleh berdiri atau duduk terlalu lama selain pelajarannya turut terjejas,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Chuping, dekat sini.

Norasikin berkata, keadaan anaknya bukan sahaja menjejaskan pergerakan harian malah turut memberi kesan kepada emosi dan kesihatan mentalnya.

Beliau mendakwa anaknya kini sering termenung, menangis secara tiba-tiba serta meracau pada waktu tertentu selain meluahkan perasaannya menerusi catatan dan lukisan dalam sebuah buku yang disifatkan seperti diari peribadi.

“Menerusi catatan dalam buku seperti diari ini banyak isi hati anak saya luahkan, menggambarkan kawan-kawan tidak mahu berkawan dengannya, kawannya suruh dia buat kerja sekolah dan paling saya sedih lukisannya menunjukkan ada seorang individu berada di hujung tebing tinggi menghadap bulan seolah-olah menggambarkan tekanan dialami sudah berpenghujung,” katanya.

Sehubungan itu, Norasikin berharap pihak berwajib dapat membantu mendapatkan keadilan untuk anaknya yang disifatkan mempunyai potensi dalam bidang akademik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, ACP Mohd Shokri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

+ - reset