Berita Berita
Inisiatif Rumah Bangsa cetus gelombang, UMNO terima 21,858 ahli termasuk KJ dan Noh Omar
KUALA LUMPUR 12 Jun – UMNO merekodkan impak luar biasa apabila menerima kemasukan seramai 21,858 ahli baharu yang majoritinya terdiri daripada golongan muda, di samping kepulangan semula barisan bekas ahli serta pemimpin yang pernah meninggalkan parti berkenaan sebelum ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan bahawa lonjakan angka keahlian itu berjaya dicatatkan sejak parti melancarkan inisiatif 'Rumah Bangsa' pada Februari lalu, serta pembukaan pendaftaran secara dalam talian bermula 20 April lepas.
Menurut beliau, dalam tempoh yang tidak sampai dua bulan, inisiatif berkenaan berjaya menarik minat bukan sahaja ahli biasa, malah barisan pimpinan daripada parti serpihan termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dari seluruh negara.
"Dalam tempoh tidak sampai dua bulan, pendaftaran ahli baharu dan kemasukan kembali bekas-bekas pimpinan dan ahli-ahli parti UMNO termasuk pimpinan BERSATU seluruh Malaysia berjumlah 21,858 orang. Moga Allah berkati dan rahmati Rumah Bangsa ini yang banyak jasanya dalam mencorakkan dan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air sepanjang lapan dekad di persada perjuangan," katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini.
Kembalinya nama-nama besar ke dalam 'Rumah Bangsa' menyaksikan kepulangan beberapa figura ikonik parti termasuk bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin; bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar; bekas Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; serta pemimpin veteran yang juga bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar.
Turut menerima impak positif daripada langkah penyatuan ini ialah Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang mana status penggantungan keahlian beliau sejak tahun 2023 kini ditamatkan dan diterima semula ke dalam pangkuan parti.
Gagasan 'Rumah Bangsa' ini direka khusus oleh UMNO sebagai platform terbuka bagi memberi peluang kedua kepada mana-mana bekas ahli serta pemimpin yang pernah keluar parti, dipecat, mahupun dikenakan tindakan gantung keahlian untuk kembali bersama memandu arah perjuangan parti.
Isnin lalu, Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka menyeru parti-parti politik yang wujud hasil daripada perpecahan UMNO sebelum ini supaya kembali bersatu di bawah satu payung perjuangan asal demi masa depan kelangsungan orang Melayu serta jaminan kestabilan politik tanah air.
Berita berkaitan
June 13, 2026, 12:24 pm
Hilang sejak Rabu, mayat lelaki ditemui terapung tersangkut pada timbunan kayu
June 13, 2026, 12:12 pm
'Himpunan Gegar TikTok' singgah pejabat TikTok suarakan isu pencipta kandungan
June 12, 2026, 11:41 am
Fitnah Tok Batin simpan pendaki hilang, lelaki direman empat hari
June 12, 2026, 11:35 am
Wan Saiful bidas Bersatu, dakwa Muhyiddin asaskan Perikatan Nasional sebagai 'tahyul'
June 12, 2026, 11:28 am
Saman barang kemas mewah: Pengasas Global Royalty lega nama dibersihkan selepas 8 tahun
June 12, 2026, 11:19 am
Isu Rohingya: PSM bidas sentimen xenofobia dan perkauman di media sosial
June 12, 2026, 9:55 am
