Berita Berita
Saman barang kemas mewah: Pengasas Global Royalty lega nama dibersihkan selepas 8 tahun
KUALA LUMPUR 12 Jun – Pengasas Global Royalty Trading SAL, Samer Halimeh, menzahirkan rasa lega dan menyifatkan keadilan akhirnya ditegakkan selepas Mahkamah Tinggi memerintahkan Datin Seri Rosmah Mansor membayar ganti rugi bernilai RM67.5 juta berhubung pertikaian barang kemas mewah.
Ahli perniagaan kelahiran Lubnan berusia 51 tahun itu menganggap keputusan berkenaan sebagai kemuncak kepada perjuangan undang-undang yang berlarutan selama lapan tahun, sekali gus mengukuhkan lagi keyakinannya terhadap kebebasan sistem kehakiman di Malaysia.
Samer berkongsi bahawa sepanjang proses litigasi yang panjang, syarikatnya terpaksa berdepan pelbagai cabaran berat, termasuk tuduhan kononnya tuntutan yang difailkan adalah palsu serta serangan yang berniat jahat bagi menjatuhkan kredibiliti peribadinya.
"Saya gembira dengan keputusan ini. Mahkamah Malaysia sekali lagi membuktikan bahawa ia bebas. Penghakiman itu sangat jelas. Saya berasa nama saya telah dibersihkan.
"Ia mengambil masa lapan tahun untuk mencapai keputusan ini, dengan pelbagai halangan termasuk kempen negatif di media sosial oleh pihak tertentu yang mendakwa syarikat dan tuntutan kami adalah palsu. Terdapat juga usaha untuk mempertikaikan kredibiliti saya. Oleh itu, saya berasa nama saya akhirnya dibela," katanya.
Kelmarin, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Quay Chew Soon, memutuskan isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu bertanggungjawab sepenuhnya atas kehilangan barang kemas berkenaan. Beliau memerintahkan Rosmah membayar RM67,461,027.37 dalam tempoh sebulan selepas gagal memulangkan 43 barang kemas mewah yang dibekalkan secara konsainan.
Kes saman yang difailkan pada tahun 2023 ini membabitkan 44 kesemuanya barang kemas mewah bernilai AS$14.57 juta (kira-kira RM68.3 juta) yang diserahkan kepada Rosmah pada Februari 2018 untuk tujuan tontonan.
Bagaimanapun, hanya satu item iaitu gelang berlian dan zamrud yang berjaya ditemui semula dan dipulangkan kepada Global Royalty susulan prosiding pelucuthakan, manakala baki 43 barangan eksklusif lain masih gagal dikesan sehingga kini.
Samer turut merakamkan penghargaan yang tidak berbelah bahagi kepada barisan pasukan guamannya yang diketuai oleh Datuk David Gurupatham dan Venothani Rajagopal yang setia berjuang bersamanya sepanjang kes runcing ini berlangsung. Beliau berharap agar pihak Rosmah dapat menjelaskan bayaran seperti yang diarahkan mahkamah bagi menyelesaikan kemelut tersebut secara total.
Terdahulu, David menegaskan anak guamnya sedia menggunakan segala saluran perundangan yang diperuntukkan di bawah undang-undang Malaysia untuk menuntut amaun penghakiman itu, termasuk bersedia memulakan prosiding kebankrapan terhadap Rosmah sebagai jalan terakhir sekiranya perlu.
Berita berkaitan
June 13, 2026, 12:24 pm
Hilang sejak Rabu, mayat lelaki ditemui terapung tersangkut pada timbunan kayu
June 13, 2026, 12:12 pm
'Himpunan Gegar TikTok' singgah pejabat TikTok suarakan isu pencipta kandungan
June 12, 2026, 11:41 am
Fitnah Tok Batin simpan pendaki hilang, lelaki direman empat hari
June 12, 2026, 11:35 am
Wan Saiful bidas Bersatu, dakwa Muhyiddin asaskan Perikatan Nasional sebagai 'tahyul'
June 12, 2026, 11:19 am
Isu Rohingya: PSM bidas sentimen xenofobia dan perkauman di media sosial
June 12, 2026, 11:11 am
Inisiatif Rumah Bangsa cetus gelombang, UMNO terima 21,858 ahli termasuk KJ dan Noh Omar
June 12, 2026, 9:55 am
