Berita Berita
2,000 pek biryani percuma habis dalam sejam; India Gate rancang buka cawangan di Indonesia, Singapura
Oleh AZIM SAID
KUALA LUMPUR, 12 Jun – Restoran India Gate terus mencipta sejarah dengan pembukaan cawangan baharunya di Changkat Bukit Bintang serta pemberian 2,000 hidangan biryani percuma, menandakan satu lagi pencapaian penting perjalanan jenama makanan India autentik itu di Malaysia.
Bermula dengan visi untuk memperkenalkan cita rasa autentik India dengan standard kualiti, layanan dan hospitaliti bertaraf tinggi kepada masyarakat Malaysia sejak 2017, India Gate kini berkembang kepada 15 cawangan di seluruh negara.
Menurut pengasas India Gate, Saravanan Subramaniam , pembukaan cawangan baharu itu bukan sekadar pembukaan sebuah restoran, sebaliknya menjadi simbol kepada perjalanan yang dibina dengan pengorbanan, keberanian, kesungguhan dan keyakinan yang tidak pernah padam.
“Perjalanan ini bukanlah sesuatu yang mudah. Kami pernah berhadapan dengan pelbagai cabaran, kesukaran dan ketidakpastian.
"Namun setiap cabaran menjadikan kami lebih kuat, lebih matang dan lebih bersedia untuk terus berkembang,” katanya dalam ucapan Majlis Pembukaan Cawangan Baharu India Gate di Changkat Bukit Bintang.
Lebih menarik, pembukaan di Changkat Bukit Bintang yang merupakan cawangan ke 14 turut disambut dengan pemberian 2,000 hidangan biryani percuma kepada pelanggan, yang difahamkan habis dalam tempoh satu jam.
Dalam masa sama, India Gate turut menekankan keistimewaan jenamanya sebagai restoran yang menawarkan makanan India autentik, dengan masakan dan rempah-ratus dihasilkan sendiri melalui Central Kitchen, tanpa menggunakan bahan sedia siap.
“Keistimewaan India Gate adalah makanan. Kita memang authentic Indian food yang masakannya dan juga rempah-rempah yang kita pakai untuk masakan ini dari Central Kitchen sendiri. Kita tidak pakai yang ready-made,” katanya dalam sidang media.
India Gate juga mencatat beberapa pencapaian membanggakan termasuk pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi kategori jualan biryani tertinggi oleh rangkaian restoran India di Malaysia serta jualan roti naan tertinggi di Malaysia.
Selain itu, restoran tersebut turut menerima pengiktirafan ASEAN Records dan Asia Records bagi kategori jualan biryani tertinggi oleh rangkaian restoran India, masing-masing di peringkat ASEAN dan Asia.
Satu lagi pencapaian penting ialah apabila India Gate menjadi restoran Indian Fine Dining pertama di Malaysia yang berjaya memperoleh Pensijilan Halal JAKIM, sekali gus membuktikan komitmen terhadap standard kualiti, kebersihan, keselamatan makanan dan keyakinan pelanggan.
Menurutnya, pensijilan halal bukan sahaja berkaitan ketiadaan alkohol atau khinzir dalam makanan, tetapi turut merangkumi aspek SOP dapur termasuk kebersihan, pengendalian makanan yang telah dimasak dan cara penyimpanan makanan.
“Sekiranya kita sudah terima sijil halal ini, kita rasa lebih selamat bila pelanggan pun selamat untuk makan dalam restoran bersijil halal dan pemilik restoran juga tak payah risau,” katanya.
Dalam ucapan sama, India Gate turut menyatakan sasaran untuk berkembang daripada 15 cawangan kepada 30 cawangan dalam tempoh dua tahun akan datang, selain merancang memperkenalkan jenama itu ke luar negara.
Menurut maklumat tambahan, India Gate sudah merancang membuka jenama tersebut di Singapura dan Indonesia serta telah menerima trademark untuk India Gate di kedua-dua negara berkenaan.
Impian kami bukan sekadar menjadi rangkaian restoran yang besar. Impian kami adalah untuk menjadikan India Gate sebagai salah satu jenama restoran Malaysia yang dihormati dan dikenali di peringkat dunia,” tambahnya.
Pada majlis berkenaan, India Gate turut mengumumkan pelantikan Datuk Samsudin bin Basir sebagai Pengerusi India Gate yang baharu, sebagai langkah strategik untuk memperkukuhkan struktur kepimpinan syarikat dan membuka lebih banyak peluang membawa jenama itu ke tahap lebih tinggi.
Dengan pembukaan cawangan ke-14 di Changkat Bukit Bintang, India Gate sudah merancang pembukaan seterusnya di Damansara pada bulan hadapan.
Berita berkaitan
June 13, 2026, 12:24 pm
Hilang sejak Rabu, mayat lelaki ditemui terapung tersangkut pada timbunan kayu
June 13, 2026, 12:12 pm
'Himpunan Gegar TikTok' singgah pejabat TikTok suarakan isu pencipta kandungan
June 12, 2026, 11:41 am
Fitnah Tok Batin simpan pendaki hilang, lelaki direman empat hari
June 12, 2026, 11:35 am
Wan Saiful bidas Bersatu, dakwa Muhyiddin asaskan Perikatan Nasional sebagai 'tahyul'
June 12, 2026, 11:28 am
Saman barang kemas mewah: Pengasas Global Royalty lega nama dibersihkan selepas 8 tahun
June 12, 2026, 11:19 am
Isu Rohingya: PSM bidas sentimen xenofobia dan perkauman di media sosial
June 12, 2026, 11:11 am
Inisiatif Rumah Bangsa cetus gelombang, UMNO terima 21,858 ahli termasuk KJ dan Noh Omar
June 12, 2026, 9:55 am
