Berita Sukan
Kritik saya, jangan 'tembak' pemain - Jurulatih Paraguay
SANTA CLARA 19 Jun – Jurulatih Paraguay, Gustavo Alfaro melepaskan kemarahan terhadap kritikan yang diterima pemainnya selepas kekalahan besar pada perlawanan pembukaan Piala Dunia menentang Amerika Syarikat (AS).
Malah, beliau turut meminta pihak media agar berhenti menyerang para pemain dan menumpukan semua kritikan tersebut terhadap dirinya sahaja.
Alfaro mengambil tanggungjawab penuh atas kekalahan 4-1 kepada tuan rumah bersama, AS minggu lalu dan berkata pemainnya perlu dibiarkan tenang dalam usaha memperbaiki kempen Kumpulan D mereka apabila menentang Turkiye, esok.
"Kritik saya. Anda boleh 'tembak' saya, tapi bukan mereka. Lindungi mereka. Kenapa? Kerana apabila Piala Dunia tamat, saya akan pergi, tetapi mereka akan kekal. Mereka akan terus mewakili negara," kata Alfaro dalam sidang media.
"Tolong, hentam saya. Hentam saya. Saya akan tegakkan kepala dan terima semua pukulan anda. Namun, saya cuma minta anda pertahankan pemain, mereka adalah aset paling berharga pasukan kebangsaan."
Paraguay yang dikenali sebagai La Albirroja kali terakhir bermain di Piala Dunia pada 2010, apabila mereka disingkirkan juara, Sepanyol dalam suku akhir dramatik yang menjadi pencapaian terbaik mereka dalam kejohanan itu.
Paraguay dan Turkiye tidak boleh melakukan kesilapan dalam pertembungan mereka nanti selepas kedua-dua pasukan tewas dalam perlawanan pertama, dengan Turkiye tewas 2-0 kepada Australia.
Alfaro berkata, Paraguay diasak dan ditenggelamkan dari semua aspek ketika menentang Amerika Syarikat, tetapi sejak itu mereka sudah bangkit dan akan memberikan tentangan hebat menentang Turkiye.
Namun, ketika cuba memberi fokus kepada perlawanan akan datang, beliau menjadi semakin marah dengan soalan mengenai pemilihan pemain dalam perlawanan pertama dan terus meluahkan rasa tidak puas hati.
"Saya sudah tutup bab Amerika Syarikat pada Sabtu dan kamu bawa saya kembali ke bab itu. Esok kita ada 'final' menentang Turkiye," katanya.
"Mereka di sini, mewakili tujuh juta rakyat. Jadi saya mahu lihat kamu mempertahankan jersi ini… kamu boleh hancurkan jurulatih, tidak mengapa."
Pemain tengah, Matias Galarza yang duduk di sebelah Alfaro, kelihatan kurang senang ketika sidang media panas itu berlangsung lebih lama daripada masa yang dijadualkan.
"Baiklah, susah nak bercakap sekarang," kata Galarza hingga membuat wakil media ketawa. "Sudah tentu perlawanan itu mengejutkan kami… bab perlawanan Amerika Syarikat sudah ditutup dan esok kami ada final."
Berita berkaitan
June 19, 2026, 3:00 pm
Jangan terus meratapi kekalahan, fokus aksi penentu menentang Afrika Selatan - Myung-bo
June 17, 2026, 1:00 pm
Empat bekas tonggak import Selangor FC barisi kesebelasan utama Jordan di Piala Dunia
June 12, 2026, 9:36 am
Harimau Malaya naik dua anak tangga ke kedudukan 136 dunia
June 8, 2026, 7:20 pm
Piala AFF: Nafuzi Zain dilantik bimbing Harimau Malaya bulan depan
May 30, 2026, 4:34 pm
Azeem Fahmi lakar sejarah layak ke Grand Final NCAA
May 25, 2026, 3:54 pm
Arif Aiman selamat tamatkan zaman bujang, dijangka bersanding malam ini
May 19, 2026, 3:54 pm
Chen Tang Jie, Toh Ee Wei dinobat Olahragawan dan Olahragawati Negara
May 19, 2026, 11:20 am
Neymar kembali sertai skuad Brazil ke Piala Dunia 2026
May 18, 2026, 11:28 am
