Berita Sukan
Jangan terus meratapi kekalahan, fokus aksi penentu menentang Afrika Selatan - Myung-bo
GUADALAJARA 19 Jun – Ketua jurulatih Korea Selatan, Hong Myung-bo menggesa barisan pemainnya agar tidak terus meratapi kekalahan tipis 1-0 kepada Mexico dalam aksi kedua Kumpulan A saingan Piala Dunia, pagi tadi.
Kekalahan skuad Taegeuk Warriors itu berpunca daripada kesilapan penjaga gol, Kim Seung-gyu yang gagal mengawal bola tinggi akibat diasak hebat, sekali gus membuka ruang kepada Luis Romo untuk meledak gol tunggal perlawanan pada awal babak kedua.
Bagaimanapun, Myung-bo enggan meletakkan kesalahan sepenuhnya di bahu penjaga golnya itu, sebaliknya memuji disiplin taktikal yang dipamerkan oleh anak buahnya sepanjang perlawanan.
"Gol yang kami lepaskan itu sememangnya dikesali, tetapi tidak perlu untuk kami 'menundukkan kepala'. Walaupun keputusannya mengecewakan, saya percaya pemain sudah melaksanakan pelan permainan yang direncanakan dengan baik," katanya kepada pemberita.
Mengulas mengenai corak permainan, Myung-bo menjelaskan pasukannya sudah menjangka Mexico akan melakukan asakan agresif sejak awal permainan, dan fokus utama mereka adalah untuk bertahan daripada dibolosi pada minit awal.
"Sangat penting untuk kami tidak melepaskan gol sehingga minit ke-20 babak pertama, dan pemain berjaya bertahan dengan baik. Selepas tempoh itu, tempo permainan mula beralih kepada kami, dan kami mampu menerajui asakan serta mengawal perlawanan," katanya lagi.
Ketika ditanya mengenai insiden yang membawa kepada gol kemenangan Mexico, Myung-bo enggan menuding jari secara melulu dan mahu meneliti semula rakaman perlawanan berkenaan.
"Ada situasi tolak-menolak antara pemain dalam kekecohan itu dan saya rasa kesilapan berlaku dalam proses berkenaan," ujarnya ringkas.
Meskipun terpaksa menelan pahit kekalahan, peluang Korea Selatan untuk melangkah ke pusingan 32 terakhir masih terbuka luas selepas mengutip tiga mata daripada dua perlawanan setakat ini.
Mexico kini menerajui Kumpulan A dengan enam mata maksimum, manakala Republik Czech dan Afrika Selatan masing-masing sekadar memungut satu mata.
Korea Selatan dijadualkan menentang Afrika Selatan dalam aksi terakhir kumpulan pada Rabu ini di Monterrey, yang bakal menentukan talian hayat mereka dalam kejohanan berprestij ini.
"Afrika Selatan adalah pasukan yang memiliki kepantasan yang baik. Kami perlu melakukan persiapan taktikal yang mantap (untuk menghadapi mereka)," tegas Myung-bo.
Berita berkaitan
June 19, 2026, 12:32 pm
Kritik saya, jangan 'tembak' pemain - Jurulatih Paraguay
June 17, 2026, 1:00 pm
Empat bekas tonggak import Selangor FC barisi kesebelasan utama Jordan di Piala Dunia
June 12, 2026, 9:36 am
Harimau Malaya naik dua anak tangga ke kedudukan 136 dunia
June 8, 2026, 7:20 pm
Piala AFF: Nafuzi Zain dilantik bimbing Harimau Malaya bulan depan
May 30, 2026, 4:34 pm
Azeem Fahmi lakar sejarah layak ke Grand Final NCAA
May 25, 2026, 3:54 pm
Arif Aiman selamat tamatkan zaman bujang, dijangka bersanding malam ini
May 19, 2026, 3:54 pm
Chen Tang Jie, Toh Ee Wei dinobat Olahragawan dan Olahragawati Negara
May 19, 2026, 11:20 am
Neymar kembali sertai skuad Brazil ke Piala Dunia 2026
May 18, 2026, 11:28 am
