Berita Politik
PN lulus permohonan PEJUANG, PCM - Dr Sam sahkan agihan kerusi PRN Johor akan dimuktamadkan hari ini
Oleh AZIM SAID
KUALA LUMPUR 22 Jun – Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) meluluskan permohonan dua parti politik baharu untuk menyertai gabungan itu selepas mengadakan mesyuarat tergempar selama kira-kira dua jam pada malam Isnin.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, mesyuarat yang bermula pada jam 9.30 malam dan berakhir sekitar 11.30 malam itu dihadiri wakil semua parti komponen iaitu PAS, Bersatu, Gerakan dan MIPP.
Menurutnya, mesyuarat khas itu membincangkan dua agenda utama iaitu keanggotaan PN serta persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
"Mesyuarat bersetuju meluluskan permohonan dua parti politik untuk menjadi parti anggota baharu Perikatan Nasional iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Cinta Malaysia (PCM)," katanya pada sidang media selepas mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN.
Mengulas mengenai persiapan PRN Johor, Ahmad Samsuri berkata, mesyuarat turut memutuskan supaya agihan kerusi dimuktamadkan dalam tempoh segera menerusi Jawatankuasa Rundingan Kerusi.
"Berkaitan dengan Pilihan Raya Negeri Johor secara khususnya dan ia juga berkait dengan perbincangan untuk Pilihan Raya Negeri Sembilan, mesyuarat bersetuju untuk memuktamakan agihan kerusi melalui jawatan kuasa rundingan kursi dalam tempoh segera," jelasnya.
Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan dijadual bermesyuarat pada Selasa bagi menyelesaikan rundingan sebelum hari penamaan calon pada Sabtu.
Ahmad Samsuri berkata, setiap parti komponen akan menghantar dua wakil ke jawatankuasa tersebut yang akan dipengerusikan Ketua Pengarah Pilihan Raya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, manakala Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bertindak sebagai setiausaha rundingan.
Ditanya mengenai pandangan berbeza dalam mesyuarat, beliau mengakui perkara itu adalah lumrah namun semua pihak akhirnya mencapai kata sepakat.
"Perbincangan diadakan dan memang dalam mana-mana mesyuarat ada pandangan yang sama dan berbeza, tetapi akhirnya kita membuat satu keputusan dan kita bergerak ke hadapan berdasarkan keputusan itu," katanya.
Sementara itu, Ahmad Samsuri menyifatkan suasana mesyuarat berlangsung secara harmoni dengan setiap wakil parti diberi ruang mengemukakan pandangan masing-masing secara terbuka.
Berita berkaitan
October 29, 2026, 8:39 am
Isu kerusi MCA selesai secara harmoni, BN Melaka fokus pertahan 21 kawasan
October 28, 2026, 6:17 pm
MCA akur peruntukan dua kerusi PRN Melaka, jamin representasi kaum Cina diteruskan
October 27, 2026, 5:27 pm
MCA gesa BN runding semula agihan kerusi PRN
October 21, 2026, 12:17 pm
Bersatu gantung keahlian MB Perlis
October 18, 2026, 4:18 pm
Kemelut politik Negeri Sembilan tak beri kesan pada BN hadapi PRN Melaka
October 17, 2026, 6:23 pm
Nik Nazmi direhatkan 3 bulan daripada aktiviti rasmi BERSAMA
October 17, 2026, 1:42 pm
PAS terima hakikat BN bakal memimpin di Melaka
October 16, 2026, 9:54 am
PAS utamakan rundingan bersama UMNO, BN hadapi PRU16
October 7, 2026, 9:35 am
PAS Melaka nafi senarai tular calon empat kerusi DUN bagi PRN Melaka
September 29, 2026, 4:35 pm
