TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KPM ambil 8,042 guru baharu, 5,845 graduan IPG bakal ditempatkan Ogos ini

By
|
Kongsi
image

 

 

KUALA LUMPUR 25 Jun – Kementerian Pendidikan (KPM) terus memperkukuh usaha menangani isu kekurangan guru di sekolah kerajaan apabila melaksanakan pengambilan baharu seramai 8,042 guru setakat 10 Jun lalu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementerian itu juga bakal menerima bekalan guru baharu melibatkan 5,845 pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) yang dijadualkan menamatkan pengajian pada bulan ini.

Menurut beliau, berdasarkan perancangan semasa KPM, kesemua graduan berkenaan dijangka ditempatkan di sekolah-sekolah seluruh negara bermula Ogos depan.

"Pengisian jawatan guru dilaksanakan dari semasa ke semasa dalam kalangan graduan pendidikan lepasan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), universiti awam, universiti swasta dan universiti luar negara berdasarkan unjuran tertakluk kepada kekosongan jawatan dan keperluan opsyen mata pelajaran di sekolah KPM.

"Graduan yang berjaya melepasi syarat lantikan, memenuhi kluster mata pelajaran dan berjaya dalam temu duga akan ditawarkan pelantikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selaku Pihak Berkuasa Melantik," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai jumlah graduan pendidikan yang masih belum ditempatkan sebagai guru, termasuk punca serta pelan penyelesaian terhadap isu berkenaan.

Fadhlina berkata, antara langkah yang diambil KPM bagi memastikan keperluan guru di sekolah dapat dipenuhi ialah melaksanakan pengambilan guru sebanyak dua kali setahun.

Menurutnya, pendekatan tersebut bukan sahaja membantu mengisi kekosongan perjawatan dengan lebih cepat, malah memberi peluang kepada graduan pendidikan untuk menyertai perkhidmatan perguruan dalam tempoh singkat selepas tamat pengajian.

"Selain itu, graduan pendidikan yang telah mendapat keputusan senat boleh membuat permohonan melalui portal mySPP yang dibuka sepanjang tahun.

"KPM akan terus komited dalam menambah baik proses pengisian jawatan guru baharu dengan mempertingkatkan sinergi dan bekerjasama rapat dengan SPP dan agensi pusat bagi memastikan isu kekurangan guru di seluruh negara dapat ditangani," katanya.

+ - reset