TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lewat umum calon PRN Johor: Asyraf Wajdi ulas isu baiah setia & tapisan ketat 56 calon BN

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 25 Jun – UMNO tampil meluahkan penjelasan rasmi bagi menepis pelbagai spekulasi liar dan andaian tidak berasas di media sosial berhubung kelewatan majlis pengumuman calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, semalam.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki memperincikan bahawa majlis yang sepatutnya dijadualkan bermula pada jam 3 petang terpaksa ditangguhkan ke jam 4.30 petang atas faktor teknikal bagi melengkapkan prosedur pemilihan serta perundangan calon parti.

Menurut beliau, ketetapan ketat kali ini menggariskan bahawa setiap calon bukan sahaja wajib mengangkat sumpah baiah untuk kekal setia serta tidak melompat parti sekiranya memenangi mandat, malah perlu melepasi tapisan keselamatan menyeluruh.

"Setiap calon perlu melalui tapisan ketat bagi menyemak profil masing-masing dari aspek kebankrapan, bebas daripada sebarang kes jenayah, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Jabatan Agama Islam bagi memastikan bersih daripada isu berkaitan kesalahan syariah.

"Setiap calon mesti melalui proses menandatangani beberapa dokumen perjanjian dan kontrak di hadapan peguam serta Pesuruhjaya Sumpah," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Asyraf menjelaskan, proses dokumentasi rasmi itu bermula seawal jam 10.30 pagi dan dijangka selesai sekitar jam 2.30 petang. Bagaimanapun, urusan berkenaan berlarutan sehingga jam 4 petang memandangkan ia melibatkan bilangan yang besar iaitu kesemua 56 calon DUN.

Penjelasan ini sekali gus mematikan khabar angin bertiup kencang sebelum ini yang mendakwa kononnya berlaku rundingan saat-saat akhir bagi membentuk kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional (PN) menggunakan logo dacing.

Spekulasi terbabit meleset sama sekali selepas Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan kesemua 56 calon adalah milik mutlak komponen BN, selain menegaskan pendirian tegas parti itu untuk bertanding secara solo.

"Bagi pihak UMNO dan BN, saya memohon maaf kepada semua penyokong, jentera parti dan rakan-rakan media yang terpaksa menunggu lama untuk mendengar pengumuman rasmi daripada Pengerusi BN Johor. Semoga Allah memberikan kemenangan kepada semua calon BN demi kesejahteraan rakyat Johor," ujarnya lagi.

+ - reset