Berita Berita
Wanita hilang selepas keluar temu duga, kereta ditemui di Padang Rengas
IPOH 25 Jun – Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang wanita berusia 41 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah ibunya di Kamunting, Taiping sejak sembilan hari lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintenden Mohd Ariffridzuan Ezahar berkata, pihaknya menerima laporan rasmi berhubung kehilangan mangsa, Nor Afiza Zainuddin, pada jam 11.22 pagi, 18 Jun lalu.
Siasatan awal mendapati Nor Afiza kali terakhir dilihat meninggalkan kediaman ibunya di Lorong Mewah 16, Taman Mewah, Kamunting pada 16 Jun dengan memandu sebuah kereta Perodua Axia berwarna putih.
"Wanita berkenaan memaklumkan kepada keluarganya bahawa dia mahu keluar rumah atas alasan bagi menghadiri satu sesi temu duga kerja di sebuah hotel di Kuala Kangsar," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Bagaimanapun, misteri kehilangan wanita itu mula mendapat petunjuk baharu apabila pihak polis berjaya menemui kenderaan Perodua Axia miliknya ditinggalkan di kawasan rekreasi Kampung Paya Lintang, Batu Hampar dekat Padang Rengas pada 21 Jun lalu.
Hasil pemeriksaan fizikal mendapati kenderaan tersebut berada dalam keadaan baik dan kunci kereta masih ada bersama. Polis turut menemui beberapa barangan peribadi milik mangsa yang ditinggalkan di dalam kereta, antaranya fail mengandungi sijil-sijil, beg telekung, serta sepasang kasut.
Mohd Ariffridzuan menambah, hasil semakan mendapati Nor Afiza mempunyai dua orang anak, namun kedua-dua anaknya itu kini berada di bawah jagaan bekas suaminya.
Ciri-ciri fizikal mangsa digambarkan mempunyai ketinggian sekitar 155 sentimeter, berat badan 57 kilogram, berkulit sawo matang, serta memakai cermin mata.
Sehubungan itu, pihak polis menyeru orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kedudukan atau penampakan Nor Afiza untuk tampil ke hadapan bagi membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Sanjay Shanmugam di talian 012-5039820 atau terus menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di talian 05-8291222, atau mana-mana balai polis yang berhampiran.
Berita berkaitan
June 25, 2026, 9:57 am
KPM ambil 8,042 guru baharu, 5,845 graduan IPG bakal ditempatkan Ogos ini
June 25, 2026, 9:16 am
Puad Zarkashi umum keluar UMNO, dakwa parti dikawal Istana
June 25, 2026, 9:04 am
Pelajar Tingkatan Dua meninggal dunia selepas rebah ketika latihan ragbi di Melaka
June 25, 2026, 8:26 am
Padah belanja wang majikan, wanita sanggup reka cerita kena ragut
June 25, 2026, 8:04 am
Lewat umum calon PRN Johor: Asyraf Wajdi ulas isu baiah setia & tapisan ketat 56 calon BN
June 25, 2026, 8:00 am
Ban pecah awal pagi: 32 rumah di Banting dinaiki air hingga hampir satu meter
June 24, 2026, 8:11 pm
