Berita Berita
Pelajar Tingkatan Dua meninggal dunia selepas rebah ketika latihan ragbi di Melaka
MELAKA 25 Jun – Seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua dilaporkan meninggal dunia selepas rebah ketika mengikuti sesi latihan ragbi di sebuah sekolah menengah di Telok Mas di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa dipercayai pengsan secara tiba-tiba ketika sedang mendengar taklimat daripada jurulatih selepas sesi latihan dihentikan seketika untuk berehat.
Datuk saudara mangsa, Yahya Endut, 64, berkata, beliau terkejut selepas menerima panggilan yang memaklumkan kejadian menimpa cucu saudaranya yang menetap di asrama sekolah berkenaan.
Menurutnya, sebaik menerima berita tersebut, dia bergegas dari Alor Gajah ke Hospital Melaka bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai keadaan mangsa.
“Saya dimaklumkan ketika kejadian arwah baharu sahaja menjalani latihan kira-kira 15 minit sebelum jurulatih meminta semua pemain berhenti berehat.
“Ketika sedang duduk mendengar taklimat, arwah tiba-tiba rebah dan mengalami kesukaran bernafas sebelum dibawa mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka malam ini.
Yahya berkata, pemergian mangsa amat mengejutkan ahli keluarga memandangkan arwah tidak pernah menunjukkan sebarang tanda mengalami masalah kesihatan sebelum ini.
“Arwah juga tidak pernah bercerita mempunyai sebarang masalah ketika berada di asrama, sebab itu kami sekeluarga sangat terkejut dengan kejadian ini,” ujarnya.
Beliau berkata, jenazah mangsa dijangka dibawa pulang ke kampung halaman keluarga bagi urusan pengebumian selepas proses bedah siasat selesai dijalankan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman mengesahkan kejadian berkenaan.
“Mangsa yang bersekolah di Telok Mas rebah semasa taklimat selepas latihan ragbi sebelum meninggal dunia,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Halim Abas turut mengesahkan insiden tersebut dan memaklumkan satu kenyataan rasmi berhubung kejadian itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Berita berkaitan
June 25, 2026, 9:57 am
KPM ambil 8,042 guru baharu, 5,845 graduan IPG bakal ditempatkan Ogos ini
June 25, 2026, 9:16 am
Puad Zarkashi umum keluar UMNO, dakwa parti dikawal Istana
June 25, 2026, 8:26 am
Padah belanja wang majikan, wanita sanggup reka cerita kena ragut
June 25, 2026, 8:11 am
Wanita hilang selepas keluar temu duga, kereta ditemui di Padang Rengas
June 25, 2026, 8:04 am
Lewat umum calon PRN Johor: Asyraf Wajdi ulas isu baiah setia & tapisan ketat 56 calon BN
June 25, 2026, 8:00 am
Ban pecah awal pagi: 32 rumah di Banting dinaiki air hingga hampir satu meter
June 24, 2026, 8:11 pm
