Berita Berita
Guru tuisyen dipenjara 165 tahun rogol dua anak perempuan, kini tunggu keputusan tujuh lagi tuduhan
TAWAU 25 Jun – Seorang guru tuisyen yang sebelum ini dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 165 tahun kerana merogol dua anak perempuannya masih perlu menunggu keputusan bagi tujuh lagi pertuduhan rogol membabitkan anak sulungnya.
Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis menangguhkan prosiding sebutan semula kes itu yang dijadualkan berlangsung hari ini kepada 21 Julai depan selepas laporan perubatan mangsa masih belum diperoleh.
Prosiding dikendalikan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya dengan pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Suhayl Aminin Sallehuddin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada 6 Mei lalu, lelaki berusia 53 tahun yang merupakan guru di sebuah pusat tuisyen di Lahad Datu itu mengaku bersalah terhadap tujuh pertuduhan yang dikemukakan secara berasingan.
Tertuduh didakwa merogol anak perempuan sulungnya yang kini berusia 25 tahun di beberapa hotel di daerah ini antara Disember 2025 hingga 19 Mac lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen Lahad Datu pada 8 April lalu menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan 165 tahun terhadap tertuduh selepas dia mengaku bersalah atas 11 pertuduhan merogol dua anak perempuannya yang masing-masing kini berusia 25 dan 22 tahun.
Dalam keputusan itu, Hakim Suhailla Selag menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan semua hukuman berjalan secara berasingan, selain mengenakan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan.
Berita berkaitan
June 25, 2026, 12:32 pm
Isu "pintu belakang" universiti: Exco Kedah, Dr Haim Hilman didakwa di mahkamah
June 25, 2026, 11:56 am
Op Kesan dilanjut hingga 30 Jun, PERKESO beri peluang kedua kepada majikan
June 25, 2026, 11:47 am
Kadar pengangguran April stabil pada 3 peratus, trend kehilangan pekerja masih terkawal
June 25, 2026, 10:41 am
'Istana tidak arah bubar DUN Johor' - Onn Hafiz tepis dakwaan Puad
June 25, 2026, 9:57 am
