Berita Berita
'Istana tidak arah bubar DUN Johor' - Onn Hafiz tepis dakwaan Puad
KUALA LUMPUR 25 Jun - Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 1 Jun lalu dibuat selepas mendapat titah perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pembubaran DUN itu bukan dibuat atas arahan atau diarahkan oleh Tunku Ismail.
Beliau sekali gus menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bekas Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang mendakwa beliau sendiri memaklumkan mengenai pembubaran DUN itu adalah arahan Tunku Ismail.
"Apa yang saya jelaskan kepada beliau (Mohd Puad) ialah pembubaran DUN ini dibuat selepas mendapat titah perkenan Tunku Mahkota Ismail selaras dengan Fasal 23, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
"Menteri Besar tidak boleh membubarkan DUN sesuka hati. Pembubaran perlu melalui proses yang ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor dan hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan.
"Saya telah mengadap dan mempersembahkan perkara tersebut. Selepas mendapat perkenan, saya mengumumkan pembubaran DUN Johor kepada rakyat secara terbuka.
"Mendapat titah perkenan ialah satu proses perlembagaan dan sama sekali tidak bermaksud menerima arahan atau campur tangan politik," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Penyandang kerusi DUN Machap itu berkata, kenyataan dibuat Mohd Puad adalah tidak bertanggungjawab dan memutarbelitkan proses perlembagaan yang sah sehingga mewujudkan persepsi kononnya Institusi Diraja mencampuri urusan dan keputusan politik UMNO Johor.
"Beliau berhak meninggalkan UMNO dan berbeza pandangan dengan kepimpinan parti. Namun, kenyataan sedemikian amat serius dan berpotensi menyentuh sensitiviti 3R, khususnya berkaitan Institusi Diraja, selain boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam," katanya.
Susulan kenyataan Mohd Puad, Onn Hafiz berkata, UMNO Johor akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa.
Pada masa sama, beliau menyeru semua pihak supaya menghormati Institusi Diraja, mematuhi Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor serta tidak memperalatkan institusi itu dalam pertelingkahan politik.
Hari ini, Mohd Puad mengumumkan keluar daripada parti UMNO serta-merta atas alasan UMNO tidak lagi bebas membuat keputusan dan mendakwa UMNO Johor dikawal oleh istana dalam membuat keputusan.
Penyandang kerusi DUN Rengit itu dilaporkan berkata, Onn Hafiz sendiri membuat pengakuan kepadanya ketika pertemuan di Saujana (kediaman rasmi Menteri Besar) pada 21 Jun lalu yang kemudian memaklumkan kepadanya bahawa pihak Istana yang bertitah supaya DUN Johor dibubarkan.
Berita berkaitan
June 25, 2026, 11:56 am
Op Kesan dilanjut hingga 30 Jun, PERKESO beri peluang kedua kepada majikan
June 25, 2026, 11:47 am
Kadar pengangguran April stabil pada 3 peratus, trend kehilangan pekerja masih terkawal
June 25, 2026, 9:57 am
KPM ambil 8,042 guru baharu, 5,845 graduan IPG bakal ditempatkan Ogos ini
June 25, 2026, 9:16 am
Puad Zarkashi umum keluar UMNO, dakwa parti dikawal Istana
June 25, 2026, 9:04 am
