Berita Sukan
Piala Dunia: Ecuador kejutkan Jerman, Jepun wakil Asia pertama mara ke pusingan kalah mati
KUALA LUMPUR 26 JUN - Kejutan besar melanda saingan Piala Dunia apabila gergasi Eropah, Jerman, tunduk mengejut kepada Ecuador, manakala Jepun melakar sejarah tersendiri apabila menjadi wakil Asia pertama yang mengesahkan slot merit ke pusingan 32 terakhir.
Ecuador yang turun dengan misi hidup mati berjaya menghidupkan semula kempen mereka selepas melakar kemenangan dramatik 2-1 ke atas Jerman.
Berada dalam situasi terdesak yang menuntut kemenangan mutlak, wakil Amerika Selatan itu bagaimanapun menerima tamparan awal apabila Jerman yang sudah mengesahkan kelayakan mendahului seawal minit kedua.
Gol pembukaan itu dijaringkan menerusi Leroy Sane, sekali gus menjadi jaringan peribadi pertamanya dalam penampilan ke-15 di kejohanan utama antarabangsa.
Tersentak dengan gol awal tersebut, Ecuador terus dihimpit tekanan yang hebat, terutamanya selepas mereka gagal menghasilkan sebarang gol dalam kejohanan ini biarpun telah melakukan 39 percubaan sebelum itu.
Bagaimanapun, badi tersebut akhirnya pecah pada percubaan yang ke-40 apabila Nilson Angulo muncul wira dengan melepaskan rembatan lencong cantik yang menewaskan Manuel Neuer untuk mencetuskan sorakan gemuruh penyokong di stadium.
Kebangkitan mutlak Ecuador disempurnakan oleh Gonzalo Plata yang meledak gol kemenangan ketika perlawanan berbaki 13 minit untuk memastikan pasukan itu menempah slot ke pusingan kalah mati.
Sementara itu, Jepun turut membuktikan kehebatan bola sepak Asia di pentas dunia selepas sah menjadi wakil pertama dari benua ini yang layak ke pusingan kalah mati.
Skuad 'Samurai Biru' itu mengesahkan kemaraan berharga mereka selepas berjaya mengikat pasukan gergasi Eropah, Sweden, dengan keputusan seri 1-1.
Jaringan penting daripada Daizen Maeda pada minit ke-56 menjadi detik penentu yang membawa Jepun melangkah ke fasa seterusnya.
Nasib berbeza pula menimpa beberapa wakil Asia yang lain dalam misi memburu slot ke pusingan kalah mati.
Korea Selatan kini terpaksa bergantung harap dan menanti slot tempat ketiga terbaik untuk meneruskan cabaran mereka, manakala Iran bakal mengharungi aksi penentuan hidup mati menentang Mesir pada Sabtu.
Berita berkaitan
October 17, 2026, 10:49 am
Dendam Jojo terbalas, berjaya tundukkan Diego Paez
October 9, 2026, 1:03 am
Pernah ledak 7 gol lawan Arab Saudi, kini Lim You kembali pamer jaringan padu kaki kiri
October 8, 2026, 5:20 pm
Pemain amatur Jepun kena tumbuk dengan 'goalkeeper' lepas jaring gol penalti di Malaysia
October 6, 2026, 1:19 pm
Harimau Malaya dijangka melonjak ke kedudukan ke-133 dunia dalam ranking FIFA
October 6, 2026, 1:02 pm
Pemandu F1 Valtteri Bottas kayuh basikal lebih 350km dari Sepang ke Singapura
October 2, 2026, 11:34 am
Masa tambahan 2 minit jadi 7 minit, FAM mohon penjelasan FIFA
October 2, 2026, 11:23 am
Pemain Harimau Malaya persoal kontroversi masa tambahan Indonesia
October 1, 2026, 12:33 pm
Arif Aiman terus curi perhatian, Cheng Hoe puji bakat dan kualiti teknikal luar biasa
September 29, 2026, 10:10 am
Gagal atasi Malaysia, penyokong Indonesia sekat 'fans' Malaysia daripada keluar stadium
September 26, 2026, 2:17 pm
