TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bom lama ditemui di Lapangan Terbang Labuan, operasi tergendala

By
|
Kongsi
image

 

LABUAN 26 Jun - Operasi penerbangan di Lapangan Terbang Labuan terganggu selepas landasannya ditutup sementara susulan penemuan beberapa bom lama dipercayai peninggalan era Perang Dunia Kedua berhampiran kawasan lapangan terbang pada Jumaat.

Penutupan sementara itu menyebabkan beberapa penerbangan ke dan dari Labuan dibatalkan, manakala beberapa lagi penerbangan terpaksa dilencongkan, ditangguhkan atau mengalami perubahan jadual.

Menurut Notis kepada Juruterbang (NOTAM) yang dimuat naik menerusi Facebook Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengarahkan penutupan sementara landasan kira-kira jam 5 petang selepas bahan letupan berkenaan ditemukan pada jarak sekitar 150 meter dari landasan.

Menurut notis itu, TUDM bersama pihak pengurusan lapangan terbang sedang menjalankan pemeriksaan keselamatan di kawasan terbabit dan operasi penerbangan hanya akan disambung semula selepas pemeriksaan selesai serta mendapat kelulusan keselamatan.

Susulan penutupan itu, beberapa penerbangan dari Labuan ke Miri dan Kota Kinabalu dibatalkan, manakala penerbangan lain yang melibatkan ketibaan dan pelepasan turut terjejas.

Penumpang yang dijadualkan menggunakan perkhidmatan penerbangan ke dan dari Labuan dinasihatkan mendapatkan maklumat terkini mengenai status penerbangan masing-masing daripada syarikat penerbangan sebelum menuju ke lapangan terbang.

Pihak MAHB memaklumkan perkembangan lanjut akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Tinjauan Bernama di Lapangan Terbang Labuan mendapati beberapa penerbangan yang dijadualkan berlepas pada jam 4.05 petang, 5.15 petang, 6.05 petang, 6.15 petang dan 7.25 malam ke Kuala Lumpur, Kota Kinabalu serta Miri terjejas akibat insiden berkenaan.

Sumber memaklumkan, bom yang dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua itu ditemukan di tapak projek pembaikan cerun di Jalan Persisiran Pantai Kerupang, berhampiran lapangan terbang berkenaan.

+ - reset