Berita Berita
Mahkamah tolak semakan, Isa Samad kekal dipenjara enam tahun, denda RM15.45 juta
PUTRAJAYA 26 Jun - Bekas Pengerusi FELDA, Datuk Mohd Isa Abdul Samad kekal menjalani hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan semakannya terhadap sabitan dan hukuman bagi sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3.09 juta.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi memutuskan tiada salah laksana keadilan berlaku dalam prosiding rayuan terdahulu, sekali gus mengekalkan sabitan serta hukuman yang diputuskan terhadap bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.
Kes berkenaan membabitkan penerimaan rasuah berjumlah RM3.09 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, kira-kira 12 tahun lalu.
Dalam penghakimannya, Azizah berkata, panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini mempunyai kuasa untuk menilai semula keseluruhan keterangan yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum memutuskan untuk mengetepikan pembebasan Mohd Isa serta mengembalikan sabitan dan hukuman asal.
"Hak untuk merayu dan hak untuk didengar telah diberikan sepenuhnya oleh panel Mahkamah Persekutuan terdahulu, namun pemohon memilih untuk tidak menggunakan peluang itu.
"Seperti yang diputuskan oleh mahkamah ini dalam kes Datuk Seri Mohd Najib (bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak) lawan Pendakwa Raya, tidak berlaku salah laksana keadilan sekiranya mahkamah telah memberi peluang kepada pihak pembelaan untuk mengemukakan hujahan, walaupun pihak pembelaan memilih untuk tidak berbuat demikian.
"Atas alasan itu, kami mendapati tiada berlaku salah laksana keadilan. Oleh yang demikian, permohonan ini dengan ini ditolak," katanya.
Pada 10 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan rayuan pihak pendakwaan dengan mengembalikan sabitan dan hukuman terhadap Mohd Isa, 77, selepas Mahkamah Rayuan pada 6 Mac 2024 membebaskan beliau daripada semua pertuduhan.
Mohd Isa, yang kini sedang menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh, memfailkan permohonan semakan pada 4 Mac lalu mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 bagi mencabar keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengembalikan sabitan dan hukumannya.
Berita berkaitan
June 26, 2026, 6:16 pm
Kerajaan percepat bina rumah sewa mampu milik untuk penjawat awam - Anwar
June 26, 2026, 5:03 pm
PRN Johor: BN lancar manifesto 63 tekad, tawar 200,000 peluang kerja
June 26, 2026, 2:28 pm
PRN Johor: Pas sasar jadi pembangkang, mahu Melayu-Islam terajui Johor
June 26, 2026, 12:35 pm
MyExpo Dili 2026 kembali buka peluang pelaburan baharu ASEAN di Timor-Leste
June 26, 2026, 10:41 am
Budak 5 tahun maut terjatuh tingkat 24 kondominium
June 26, 2026, 9:30 am
