TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PRN Johor: BN lancar manifesto 63 tekad, tawar 200,000 peluang kerja

By
|
Kongsi
image

 

JOHOR BAHRU 26 Jun - Barisan Nasional (BN) Johor hari ini melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 yang menggariskan 63 tekad berteraskan enam teras Maju Johor dengan tema “Maju Johor, Kestabilan Dikekalkan, Kemajuan Diteruskan”.

Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, manifesto berkenaan dirangka berdasarkan pengalaman mentadbir negeri sepanjang empat tahun lalu selain mengambil kira keperluan sebenar rakyat bagi memastikan agenda pembangunan Johor terus diperkasakan.

Menurut beliau, mandat yang diberikan rakyat kepada BN pada pilihan raya negeri lalu membolehkan pelbagai dasar dan inisiatif dilaksanakan sehingga membawa kemajuan kepada negeri.

“Syukur Alhamdulillah. Empat tahun lalu, Bangsa Johor memberikan kepercayaan kepada Barisan Nasional untuk memimpin negeri ini. Dalam tempoh itu, banyak yang telah kita usahakan dan capai bersama.

“Berbekalkan pengalaman serta rekod pencapaian tersebut, saya memperkenalkan Manifesto Barisan Nasional Johor yang menggariskan 63 tekad berteraskan enam teras Maju Johor,” katanya menerusi perkongsian di Facebook hari ini.

Antara komitmen utama yang ditawarkan BN ialah memperkukuh Bantuan Kasih Johor (BKJ) secara bersasar, memperkenalkan skim bayaran deposit sewaan rumah untuk golongan muda serta meningkatkan akses pemilikan rumah subsidi melalui dana berjumlah RM100 juta.

Manifesto itu turut menjanjikan penerusan bantuan rumah pertama, bantuan masuk rumah dan bantuan sewa rumah bagi membantu meringankan beban rakyat.

Dalam usaha memperkukuh ekonomi negeri, BN menyasarkan pewujudan 200,000 peluang pekerjaan berkualiti untuk anak Johor, selain menawarkan pengecualian bayaran lesen perniagaan bagi tahun pertama kepada penjaja dan peniaga kecil.

BN juga berjanji menambah dana pembiayaan mikro tanpa faedah sebanyak RM100 juta bagi memperkasakan usahawan kecil di negeri itu.

“Dalam aspek ekonomi, kita juga mahu melonjakkan penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Johor dalam rantaian bekalan pelaburan strategik, di samping memperkukuh Dana Pendidikan Orang Muda Johor dengan peruntukan RM100 juta, meneruskan insentif mahasiswa anak Johor serta melaksanakan Program Semarak Isya,” katanya.

Onn Hafiz berkata, kesemua tekad yang terkandung dalam manifesto itu bukan sekadar janji pilihan raya, sebaliknya dibina berasaskan rekod pentadbiran serta keupayaan kerajaan BN melaksanakan agenda pembangunan negeri.

Beliau turut menyeru rakyat Johor memberikan mandat baharu kepada BN bagi memastikan kesinambungan dasar dan program pembangunan yang sedang dilaksanakan dapat diteruskan.

Pada PRN Johor 2022, BN membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh 12 kerusi, Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi dan MUDA satu kerusi.

Hari penamaan calon bagi PRN Johor Ke-16 ditetapkan esok, diikuti pengundian awal pada 7 Julai dan hari pengundian pada 11 Julai.

+ - reset