Berita Berita
Kerajaan percepat bina rumah sewa mampu milik untuk penjawat awam - Anwar
DENGKIL 26 Jun - Kerajaan akan mempercepatkan pembinaan perumahan khas untuk penjawat awam dengan kadar sewa lebih rendah bagi membantu meringankan beban kos sara hidup, terutama di bandar-bandar utama yang berdepan kenaikan kadar sewa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu diambil selepas kerajaan mendapati ramai penjawat awam menghadapi kesukaran mendapatkan rumah sewa yang mampu dibiayai, khususnya di beberapa negeri.
Menurut beliau, isu berkenaan dikenal pasti hasil lawatan kerja ke Pulau Pinang, Perak, Johor dan Negeri Sembilan.
"Kita akan bangunkan perumahan untuk penjawat awam dengan sewa murah supaya dia dapat sewa dengan kadar yang murah.
"Jadi ia tidak membebankan keluarga. Ini langkah-langkah kita ambil, kita akan segerakan," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jameatus Solehah, Pekan Dengkil, di sini, pada Jumaat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, walaupun kerajaan telah melaksanakan pelarasan gaji penjawat awam sehingga antara 15 hingga 30 peratus, peningkatan kadar sewa rumah di beberapa bandar masih menjadi cabaran kepada golongan itu.
"Walaupun kita naikkan gaji mereka antara 15 (hingga) maksimum 30 peratus, tetapi kadang-kadang kalau di Johor Bahru, Kuala Lumpur, Seremban, Ipoh, tidak dapat menampung kadar sewa yang meningkat," katanya.
Beliau berkata, kerajaan telah mengenal pasti beberapa tanah milik kerajaan yang akan dimanfaatkan bagi membangunkan projek perumahan berkenaan.
"Sama ada untuk kastam atau polis, sebaik saja ada ruang, kita akan bangunkan perumahan untuk penjawat awam," katanya.
Terdahulu, Anwar menyantuni kira-kira 1,200 jemaah yang menunaikan solat Jumaat di Masjid Jameatus Solehah, Pekan Dengkil, yang diimamkan oleh Muhammad Asyraf Kamaluddin.
Berita berkaitan
June 26, 2026, 5:34 pm
Mahkamah tolak semakan, Isa Samad kekal dipenjara enam tahun, denda RM15.45 juta
June 26, 2026, 5:03 pm
PRN Johor: BN lancar manifesto 63 tekad, tawar 200,000 peluang kerja
June 26, 2026, 2:28 pm
PRN Johor: Pas sasar jadi pembangkang, mahu Melayu-Islam terajui Johor
June 26, 2026, 12:35 pm
MyExpo Dili 2026 kembali buka peluang pelaburan baharu ASEAN di Timor-Leste
June 26, 2026, 10:41 am
