Berita Berita
Bayi enam bulan maut dipercayai tersedak susu di rumah pengasuh, polis siasat dakwaan lewat dibawa ke hospital
KUALA LUMPUR 26 Jun - Polis menjalankan siasatan berhubung kematian seorang bayi perempuan berusia enam bulan yang dipercayai tersedak susu ketika berada di rumah pengasuh di Pantai Dalam, di sini, pada Selasa.
Siasatan turut menjurus kepada dakwaan bayi itu tidak dibawa segera ke hospital selepas didapati tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di sebuah pusat perubatan.
Difahamkan, kejadian hanya diketahui ibu mangsa selepas dihubungi pengasuh kira-kira jam 5 petang yang memaklumkan bayi berkenaan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Berdasarkan laporan polis, ibu mangsa yang ketika itu berada di tempat kerja terus bergegas ke rumah pengasuh sebaik menerima panggilan tersebut.
Mangsa dipercayai telah meminta pengasuh membawa bayi itu ke hospital dengan segera bagi mendapatkan rawatan kecemasan, namun perkara itu didakwa tidak dilakukan.
Sebaik tiba di rumah pengasuh kira-kira jam 5.15 petang, ibu mangsa mendapati bayinya berada dalam keadaan lemah dan tidak sedarkan diri.
Ibu mangsa kemudian bersama pengasuh serta suaminya membawa bayi berkenaan ke Unit Kecemasan Hospital Pantai Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, usaha menyelamatkan mangsa gagal apabila pegawai perubatan mengesahkan bayi itu meninggal dunia pada jam 6.08 petang.
Susulan kejadian itu, bapa mangsa membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kematian anaknya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.08 malam, hari yang sama.
"Bayi berkenaan dibawa ke hospital oleh ibu bersama-sama pengasuh dalam keadaan tidak bernyawa.
"Siasatan awal mendapati ibu mangsa dimaklumkan oleh pengasuh pada jam 5.04 petang bahawa bayi itu tidak sedarkan diri selama kira-kira 30 minit ketika berada di rumah pengasuh," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
"Punca kematian mangsa masih dalam siasatan dan keputusan analisis makmal masih ditunggu," katanya.
Berita berkaitan
June 26, 2026, 7:48 pm
Bom lama ditemui di Lapangan Terbang Labuan, operasi tergendala
June 26, 2026, 6:16 pm
Kerajaan percepat bina rumah sewa mampu milik untuk penjawat awam - Anwar
June 26, 2026, 5:34 pm
Mahkamah tolak semakan, Isa Samad kekal dipenjara enam tahun, denda RM15.45 juta
June 26, 2026, 5:03 pm
PRN Johor: BN lancar manifesto 63 tekad, tawar 200,000 peluang kerja
June 26, 2026, 2:28 pm
PRN Johor: Pas sasar jadi pembangkang, mahu Melayu-Islam terajui Johor
June 26, 2026, 12:35 pm
