TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PRN Johor: Bersatu kekal komited sokong calon PN, bukan BN – Tun Faisal

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 1 Julai – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan pendiriannya kekal konsisten mengikut dasar Perikatan Nasional (PN) iaitu memberikan sokongan penuh kepada semua calon yang bertanding di bawah logo gabungan itu, dan bukannya kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, ketetapan itu amat jelas memandangkan tiada sebarang keputusan atau arahan rasmi dikeluarkan oleh Majlis Tertinggi PN untuk menyokong parti lawan mahupun mana-mana rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

"Setakat ini, tiada keputusan dasar dan ketetapan Majlis Tertinggi PN yang mengarahkan mana-mana calon yang bertanding menggunakan logo PN tidak disokong. Begitu juga, tiada keputusan dasar dalam Majlis Tertinggi PN yang mengarahkan sokongan diberikan kepada BN atau Kerajaan Perpaduan.

"Dasar Bersatu jelas dan konsisten iaitu menyokong semua calon yang bertanding menggunakan logo PN," katanya menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.

Kenyataan tegas itu dipercayai bagi mengulas tindakan Pas sebelum ini yang dilaporkan mengeluarkan arahan dalaman kepada ahli dan penyokongnya untuk mengundi calon UMNO-BN di kawasan DUN yang tidak ditandingi oleh PN.

Mengulas lanjut, Tun Faisal mengingatkan bahawa setiap parti komponen di dalam struktur PN seharusnya menumpukan usaha padu untuk memperkukuhkan kedudukan gabungan tersebut secara total, selaras dengan prinsip setiakawan yang telah dipersetujui bersama.

"Apabila parti-parti komponen PN turun bertanding dalam PRN Johor, matlamatnya adalah untuk memaksimumkan kemenangan PN, bukannya memenangkan parti tertentu sahaja dan menjejaskan peluang kemenangan calon PN yang lain.

"Jika ada tindakan yang menyebabkan calon PN sendiri kehilangan undi atau peluang untuk menang, itu bukan semangat sebuah gabungan, sebaliknya ia boleh dianggap sebagai satu bentuk sabotaj terhadap usaha bersama," ujarnya lagi.

Beliau turut menambah bahawa PN bertanding dalam pilihan raya kali ini sebagai satu entiti politik rasmi yang bergerak di bawah satu lambang bersama, dan bukannya atas kapasiti parti serantau yang bergerak secara berasingan. Disebabkan itu, setiap calon yang membawa bendera PN wajib menerima komitmen sokongan yang setara daripada semua jentera komponen.

Untuk rekod, menjelang hari pengundian PRN Johor yang dijadualkan pada 11 Julai ini, PN disahkan bertanding di 33 buah kerusi. Daripada jumlah keseluruhan 56 kawasan DUN yang dipertandingkan, Bersatu menerajui cabaran dengan meletakkan 16 calon, diikuti Pas (11 calon), Parti Rakyat India Malaysia atau MIPP (lima calon), dan Parti Pejuang Tanah Air (satu calon).

+ - reset