TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

RM8.4 juta dah keluar belanja, Dr Anuar persoal apa jadi dengan projek lencana jalur gemilang

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 1 Julai – Kementerian Pendidikan (KPM) digesa mendedahkan hasil kajian impak pelaksanaan projek pemakaian lencana Jalur Gemilang yang melibatkan peruntukan RM8.4 juta bagi membolehkan rakyat menilai keberkesanan inisiatif tersebut.

Pensyarah Kanan Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, rakyat berhak mengetahui status projek itu sama ada benar-benar mencapai objektif yang disasarkan atau sebaliknya.

Menurut beliau, sekiranya kajian impak telah dilaksanakan, KPM wajar membentangkan dapatan tersebut kepada umum, termasuk di Parlimen.

“Sudah dibuat kajian impak atau belum? Kalau sudah, berapa skor indeks patriotisme yang meningkat selepas lebih setahun program ini dilaksanakan?

“Berbaloikah impaknya dengan peruntukan RM8.4 juta yang disediakan? Eloklah dikongsikan hasil kajian itu di sidang Parlimen,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Anuar turut mempersoalkan sama ada projek pemakaian lencana Jalur Gemilang itu akan diteruskan pada tahun hadapan.

“Sebagai rakyat, kita berhak bertanya kerana duit RM8.4 juta itu datangnya dari poket rakyat,” katanya.

Beliau turut membandingkan penggunaan peruntukan tersebut dengan beberapa keperluan lain yang disifatkan mampu memberi manfaat lebih besar kepada murid.

Menurutnya, jika RM8.4 juta digunakan untuk menyediakan sarapan pagi bernilai RM5 kepada murid daripada keluarga miskin, lebih 1.6 juta murid boleh menikmati kemudahan itu.

“Kalau beri pada setiap sekolah 10,000 untuk pasang CCTV paling asas, lebih 800 buah sekolah dapat CCTV.

“Bayangkan kalau satu sekolah ada 1,000 murid, maksudnya 800,000 murid dapat manfaat keselamatan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, peruntukan sama juga boleh digunakan untuk membeli televisyen (TV) pintar berharga RM5,000 seunit bagi melengkapkan hampir 1,700 bilik darjah.

“Bayangkan dalam satu kelas 45 murid, maksudnya lebih 75,000 murid dapat kemudahan TV pintar. Itu baru setahun. Bila TV pintar itu digunakan selama lima tahun, maksudnya lebih 350,000 murid dapat faedahnya untuk pembelajaran,” katanya.

Untuk rekod, pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam sekolah mula dilaksanakan di semua institusi pendidikan di bawah KPM sejak April 2025.

Pelaksanaan itu membabitkan sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, kolej matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG) dengan tujuan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan murid dan warga pendidik.

+ - reset