TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MP Jelutong puji kelapangan dada Ahmad Zahid bawa impak positif dalam Dewan Rakyat

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 1 Julai – Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer secara terbuka menzahirkan pujian dan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas kesudian serta kelapangan dada beliau untuk duduk semeja bersama kepimpinan DAP demi membincangkan maslahat rakyat.

Rayer mendedahkan, sebahagian besar Ahli Parlimen daripada DAP telah hadir memberikan komitmen serta sokongan padu semasa sesi taklimat khas berhubung pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026 yang dikendalikan oleh Presiden UMNO itu sendiri.

“Saya berterima kasih kepada Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri. Saya turut hadir ketika taklimat diberikan kepada ahli-ahli Parlimen.

“Ramai Ahli Parlimen DAP yang hadir untuk memberikan sokongan walaupun ada yang tidak mahu mengundang kita untuk duduk semeja. Tetapi Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri berbesar hati memberikan taklimat dan kami rata-rata bangun untuk menyokong RUU ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah semasa sesi perbahasan sengit mengenai pindaan RUU Jenayah Siber 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

Kenyataan sinis Rayer berhubung pihak yang 'enggan duduk semeja' itu dipercayai merujuk kepada ketegangan politik domestik yang sedang berlaku di peringkat negeri ketika ini.

Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi secara tegas menyatakan keengganannya untuk menjalinkan sebarang bentuk kerjasama politik bersama DAP di peringkat pentadbiran negeri. Malah, Onn Hafiz dilaporkan sedia melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar sekiranya dipaksa berbuat demikian pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Menurut Onn Hafiz, dinamika dan realiti landskap politik di negeri Selatan tanah air itu adalah jauh berbeza dengan formula Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, memandangkan kesepakatan rasmi antara UMNO-BN dan DAP tidak pernah dipraktikkan di koridor kuasa Johor sebelum ini.

+ - reset