Berita Berita
'Bukan usaha pihak bersendirian' - Sultan Selangor hargai Najib cetus idea LRT3, puji Anwar teruskan projek
KUALA LUMPUR 1 Julai - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan kejayaan pelaksanaan projek Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Shah Alam adalah hasil kesinambungan perancangan dan kerjasama merentasi beberapa pentadbiran, bukannya usaha mana-mana pihak secara bersendirian.
Menerusi titah perutusan sempena pembukaan Laluan LRT3 hari ini, baginda turut menzahirkan rasa syukur apabila projek yang memberi manfaat kepada penduduk Shah Alam, Klang dan kawasan sekitarnya akhirnya dapat direalisasikan.
Sultan Sharafuddin turut merakamkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana menerima cadangan baginda pada 2015 supaya kemudahan rel dibina bagi menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.
Menurut baginda, cadangan itu dibuat susulan aduan yang diterima daripada suri rumah mengenai kesukaran suami mereka pulang ke rumah akibat kesesakan lalu lintas yang teruk, khususnya di Lebuhraya Persekutuan.
Baginda bertitah, pada ketika itu Klang hanya mempunyai dua jambatan yang merentasi Sungai Klang, sekali gus memburukkan lagi kesesakan pada waktu puncak. Sebagai langkah penyuraian trafik segera, pentadbiran ketika itu turut memansuhkan Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau pada 2018.
Bagaimanapun, Sultan Sharafuddin bertitah projek LRT3 mengalami kelewatan lebih 18 bulan susulan pertukaran kerajaan pada 2018 dan ditambah lagi dengan kelewatan selama 19 bulan akibat pandemik COVID-19 sehingga 2021.
Baginda turut bertitah bahawa ketika Kementerian Kewangan diterajui Lim Guan Eng bersama penasihatnya, Tony Pua, kos pelaburan projek itu dikecilkan dengan alasan ia merupakan projek mega.
Menurut baginda, tindakan itu menyebabkan saiz setiap stesen dikecilkan, jumlah gerabak dikurangkan dan lima cadangan stesen dibatalkan.
Sultan Sharafuddin bagaimanapun menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut memegang portfolio Menteri Kewangan kerana bersetuju meneruskan projek berkenaan.
Baginda bertitah, keputusan itu termasuk mengembalikan semula lima stesen yang sebelum ini dibatalkan, selain merancang pembinaan rumah mampu milik di sekitar kawasan stesen dan laluan LRT3 bagi meningkatkan kemudahan kepada rakyat.
Menurut baginda, Perdana Menteri turut mengarahkan supaya tiada lagi halangan yang boleh menjejaskan pelaksanaan projek berkenaan.
Sultan Sharafuddin berharap pembukaan LRT3 dapat mengurangkan kesesakan jalan raya selain menawarkan pilihan pengangkutan awam yang lebih pantas, selesa dan selamat, khususnya kepada penduduk Klang dan Shah Alam yang berulang-alik ke Kuala Lumpur.
Baginda turut berharap Prasarana dapat menyelenggara laluan berkenaan dengan baik bagi memastikan operasinya berjalan lancar dan sempurna.
Pada masa sama, Sultan Sharafuddin menegaskan kejayaan pelaksanaan LRT3 tidak seharusnya didakwa sebagai hasil usaha mana-mana pihak semata-mata, sebaliknya merupakan hasil kesinambungan perancangan, komitmen dan kerjasama pelbagai pihak merentasi beberapa pentadbiran demi kepentingan rakyat Selangor.
Baginda berharap kemudahan infrastruktur itu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi, meningkatkan kualiti hidup rakyat serta mengukuhkan lagi hubungan antara Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang sebagai nadi utama pertumbuhan negara.
Berita berkaitan
July 1, 2026, 10:54 pm
Lelaki pitam sebelum terjatuh ke landasan LRT Hang Tuah selamat dibawa keluar
July 1, 2026, 5:19 pm
MP Jelutong puji kelapangan dada Ahmad Zahid bawa impak positif dalam Dewan Rakyat
July 1, 2026, 4:52 pm
Isu sekatan program Felda: "Itu hal teknikal, kita move on" – Onn Hafiz
July 1, 2026, 3:23 pm
Sifar kes penipuan haji, badal haji musim ini - Menteri Agama
July 1, 2026, 3:13 pm
PRN Johor: Bersatu kekal komited sokong calon PN, bukan BN – Tun Faisal
July 1, 2026, 3:01 pm
